2

Menjadi Kebanggaan Malaysia, Henry Golding Kini Bergelar Bintang Filem Aksi Antarabangsa

Pernah disebut-sebut sebagai pengganti James Bond berbangsa Asia yang pertama, Henry Golding yang sebelum ini lebih popular menerusi filem-filem chick flick atau romantik-komedi, kini bergelar seorang ninja!

1
Kredit: Paramount Pictures

Ini merujuk kepada wataknya iaitu seorang ninja bergelar Snake Eyes dalam filem Snake Eyes: G.I. Joe Origins (2021) yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Nama Henry mula melonjak naik menerusi filem Crazy Rich Asians (2018). Wajah beliau yang tampan membuatkan beliau terus diberi kepercayaan memegang watak dalam kisah komedi-misteri A Simple Favor (2018) dan kisah cinta Last Christmas (2019).

Henry turut diberi peranan berat dalam drama Monsoon (2019) dan peranan kecil dalam The Gentlemen (2019) yang memaparkan hanya sedikit aksi.

Kali ini, beliau akhirnya diberikan watak utama dalam sebuah filem yang padat dengan aksi. Seperti yang kita semua maklum, ‘G.I. Joe’ dibawakan oleh syarikat pembuat alat permainan terkemuka Hasbro, yang juga sebelum ini telah menghasilkan filem-filem Transformers.

Snake Eyes: G.I. Joe Origins merupakan filem ke-3 dalam francais G.I. Joe. Dalam filem-filem terdahulu iaitu G.I. Joe: The Rise of Cobra (2009) dan G.I. Joe: Retaliation (2013), watak Snake Eyes telah dipegang oleh Ray Park, seorang artis seni mempertahankan diri yang turut terkenal dengan watak Darth Maul dalam Star Wars: Episode I – The Phantom Menace (1999).

Tugas berat menanti Henry Golding kerana beliau nanti pasti akan dibandingkan dengan Ray Park. Namun, filem Snake Eyes: G.I. Joe Origins ini lebih merupakan sebuah filem spin-off atau prequel yang akan membawa penonton mengenali asal usul Snake Eyes.

Bagaimana permusuhan di antara Snake Eyes dengan Storm Shadow dari Cobra bermula? Bagaimana Snake Eyes mula berjinak-jinak dengan ilmu mempertahankan diri sehingga menjadi seorang ninja yang digeruni? Siapakah mahaguru yang mengajar beliau? Bagaimana beliau kehilangan suara? Kenapakah beliau memilih untuk memakai baju dan topeng/helmet hitam?

2
Kredit: Paramount Pictures

Jawapannya ada dalam filem ini yang dijadualkan untuk tayangan Julai nanti. Filem Snake Eyes: G.I. Joe Origins ini turut dibintangi oleh pelakon aksi antarabangsa/ikon pesilat Indonesia terkemuka iaitu Iko Uwais, Andrew Koji, Úrsula Corberó, Samara Weaving dan Peter Mensah.

Tahniah, Henry Golding — Ninja pertama dari Malaysia!

Sumber: ScreenRant