0

Solidariti Buat Palestin Dari Bintang-Bintang Bolasepak Di Seluruh Dunia

Bersyukurlah kita masih boleh beraya, walaupun hanya di rumah. Saudara kita di Palestin belum tentu lagi ada rumah.

Keganasan Israel terhadap Palestin baru-baru ini turut mendapat perhatian pemain bola sepak ternama.

Bintang-bintang bola sepak dari seluruh dunia telah berkongsi catatan yang menyentuh perasaan di platform media sosial bagi memberi kesedaran mengenai kekejaman Israel.

Dengan tanda pagar “Palestine” dan “Save Sheikh Jarrah”, pemain Manchester City, Riyad Mahrez merupakan di antara individu pertama yang membuat ciapan di Twitter.

Pemain Arsenal yang berasal dari Mesir, Mohamed Elneny kemudiannya menghantar mesej yang berbunyi “Sepenuh jiwa dan raga saya berikan sokongan buat kalian di Palestin.”

Beberapa bintang bola sepak yang lain dari Mesir turut memberi mesej sokongan yang sama. Ini termasuklah Ahmed Elmohamady dan Trezeguet dari Aston Villa, kapten Zamalek Shikabala dan Ahmed Hassan “Kouka” dari Olympiacos.

Mohamed Aboutrika yang sebelum ini pernah ditegur Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) kerana memakai baju-T dengan mesej “Sympathize with Gaza” selepas menjaringkan gol turut memuat naik kiriman doa buat Palestin.

Satu lagi ikon dari Mesir dan Liverpool, Mohamed Salah pula menyeru pemimpin dunia melakukan sesuatu. Beliau turut memuat naik gambarnya di hadapan Masjid Al-Aqsa. Sebelum ini, Salah pernah mencetuskan kontroversi kerana enggan bersalaman dengan pemain-pemain Maccabi Tel Aviv dari Israel.

Rakan sepasukan Salah iaitu Sadio Mane turut berkongsi gambar Masjid Al-Aqsa dengan mesej “Free Palestine”. Dari Perancis, Franck Ribery, Benjamin Mendy dan Paul Pogba turut mengambil bahagian dengan tanda pagar “Save Sheikh Jarrah”.

Caglar Soyuncu dari Leicester City pula menghantar pesanan yang menindas kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa. Rakan sepasukan beliau, Wesley Fofana yang baru-baru ini dipuji kerana berpuasa ketika perlawanan turut berkongsi ciapan di Instagram.

Turut mendapat perhatian ialah dari Afrika Utara, Islam Slimani dan Achraf Hakimi yang memuat naik video viral Maryam al-Afifi.

Sementara itu, ada juga pasukan yang menunjukkan solidariti mereka dengan memakai selempang dan baju-T sebagai tanda sokongan terhadap Palestin sebelum memulakan perlawanan.

Ini termasuklah Club Deportivo Palestino, pasukan bola sepak Kuwait dan Turki, Cesar Cortes dari Chile, Mesut Ozil dari Turki dan Santi Cazorla dari Qatar yang memuat naik gambar pasukan mereka masing-masing.

Penyokong kelab Scotland, Celtic turut bersimpati dengan nasib rakyat Palestin. Mereka dengan bangganya mengibarkan bendera Palestin sebelum perlawanan menentang St. Johnstone pada hari Rabu yang lalu.

Respek!

0

Sumber: MEE