Kehilangan Kapal KRI Nanggala

Bekalan Oksigen Hanya Bertahan Hingga Sabtu, Ini Kronologi Kehilangan Kapal Selam KRI Nanggala

Sehingga saat ini kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) KRI Nanggala 402 masih belum ditemui dan difahamkan hanya mampu bertahan untuk tempoh 3 hari.

Kapal selam buatan Jerman tahun 1979 yang membawa 53 anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan dan hilang kontak pada 21 April di perairan utara Pulau Bali ketika melakukan latihan penembakan torpedo.

Kronologi kejadian bermula pada 3.46 pagi, KRI Nanggala melaksanakan penyelaman, kemudian pada 4 pagi bersiap sedia untuk melakukan penembakan torpedo, pada 4.25 pagi selepas arahan kebenaran penembakan diberikan, komunikasi dengan Nanggala tiba-tiba terputus.

Berita kehilangan KRI Nanggal disahkan sendiri oleh Panglima Tentera Udara TNI Hadi Tjahjanto, yang menyatakan asset tentera laut itu tidak dapat dihubungi tidak lama selepas mendapat izin menyelam.

Seramai 49 anak kapal, seorang komander kapal dan tiga pakar senjata berada di dalam kapal selam tersebut.

Kehilangan Kapal KRI Nanggala

Tumpahan minyak dikesan berhampiran lokasi kali terakhir kapal selam itu berada. Turut dilaporkan tumpahan minyak di beberapa lokasi lain namun pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan sama ada ia dari kapal selam tersebut.

Dalam misi pencarian kapal selam tersebut, Indonesia pada awalnya meminta bantuan dari dua negara jiran iaitu Singapura dan Australia, yang diharapkan dapat menyokong usaha pengesanan menggunakan kapal penyelamat kapal selam.

Malaysia kemudian menyusul untuk membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam tersebut, menggunakan Mega Bakti yang dijangka tiba pada 26 April ini.

Selain itu, tujuh negara lain iaitu Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Turki, India dan Australia juga menawarkan bantuan dalam pencarian kapal selam tersebut.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, kru kapal berkenaan mungkin dapat bertahan dengan bekalan oksigen yang ada sehingga pagi Sabtu ini namun keadaan semakin genting.

Kehilangan Kapal KRI Nanggala

Tiada bukti KRI Nanggala tenggelam

Terdapat spekulasi yang mengatakan kapal berkenaan berada di kedalaman 700 meter yang berkemungkinan sudah pecah untuk kedalam sebegitu, menurut penganalisis pertahanan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada bukti kukuh menunjukkan kapal selam terbabit tenggelam.

Setakat ini, Indonesia belum pernah berdepan bencana membabitkan kapal selam. Marilah kita berdoa agar KRI Nanggala 402 dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

Sumber: Detik, FMT