Spotcheck Datang Bulan Pelajar Gangguan Seksual

Amalan ‘Spotcheck’ Pelajar Datang Bulan Di Sekolah Adalah Gangguan Seksual

Amalan ‘Spotcheck’ Pelajar Datang Bulan Di Sekolah.

Zaman persekolahan merupakan zaman yang paling diingati ramai kerana begitu banyak kenangan pahit dan manis bersama kawan-kawan.

Ada kalanya, kita semua mengalami tekanan seperti menghadapi peperiksaan, kerja sekolah dan sebagainya.

Tetapi bagi pelajar perempuan terutama mereka yang bersekolah asrama, ada satu pengalaman yang mendebarkan apabila terpaksa menunjukkan tuala wanita untuk membuktikan datang bulan ketika perlu solat berjemaah.

Dan amalan spotcheck pelajar secara fizikal ini dikatakan sudah berlaku sejak 20 tahun lalu, menurut pengalaman pelajar dan bekas pelajar di beberapa buah sekolah.

Guru, warden asrama dan pengawas yang bertugas akan meminta pelajar perempuan menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada alat sulit dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat jemaah kerana mengalami haid.

Bukan itu sahaja, pelajar juga diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita.

Isu ini berbangkit semula apabila seorang pengguna Twitter, @nalisaaliaamin berkongsikan masalah itu dan meminta mangsa yang berdepan situasi sama menceritakan pengalaman masing-masing dengan ditutup identiti mereka.

Ramai pelajar tampil berkongsi pengalaman tersebut dan mengatakan amalan memalukan itu perlu dihentikan.

Memetik sumber Malaysiakini, pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan UKM, Dr Harlina Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.

Begitu juga dengan kenyataan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Sidek, berkata tindakan memeriksa bahagian alat sulit anak gadis untuk memastikan sama ada datang haid atau tidak adalah gangguan seksual, kesalahan membuli, dan boleh menganggu emosi mereka yang diperiksa.

Spotcheck Datang Bulan Pelajar Gangguan Seksual
Gambar Hiasan

Isu ini juga turut mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengatakan sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut meskipun dengan apa-apa alasan sekalipun.

“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya.

Jelasnya, Islam sememangnya mewajibkan setiap penganutnya mendirikan solat lima waktu tetapi ia tidak bererti ia membenarkan para pelajar diperlakukan sedemikian rupa.

Seharusnya, orang dewasa perlu mendidik anak untuk bercakap benar dan ada rasa tanggungjawab serta mengajar mereka untuk bersolat.

Perkara ini juga menggesa supaya Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneliti isu tersebut dengan berkesan.

Sumber: MalaysiaKini