Iklan Raya Promosi Judi

Tular Iklan Raya Ajak Berjudi, Tak Jaga Sensitiviti Umat Islam

Iklan ajak berjudi sempena hari raya Aidilfitri.

Setiap kali datangnya hari raya Aidilfitri, sudah menjadi satu kebiasaan kita semua untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran berkenaan.

Walaupun sudah menjadi satu kebiasaan buat kita semua untuk berbelanja bagi menyambut hari lebaran, ada antara kita yang sanggup mengeluarkan dan berbelanja banyak wang ringgit semata-mata bagi menyambut hari yang hanya muncul setahun sekali terbabit.

Ada juga dalam kalangan kita yang sanggup berhutang supaya hari lebaran yang bakal tiba dapat disambut dengan penuh meriah kerana ia datang setahun sekali.

Namun, segala perkara yang dilakukan, bukanlah tiket untuk kita sebagai umat Islam menghiraukan perkara halal dan haram.

Baru beberapa hari umat Islam menyambut kedatangan Ramadan, tular sebuah iklan yang mempromosikan aktiviti perjudian bertemakan hari raya Aidilfitri.

Difahamkan, video iklan raya itu dikeluarkan sebuah syarikat judi GDBet333, dimuat naik hampir seminggu lalu di saluran YouTube.

Iklan berdurasi dua minit itu mengundang kecaman orang ramai apabila dalam video berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu.

Iklan Raya Promosi Judi
Sumber: Twitter

Perkara ini jelas amat bercanggah dan dilihat seolah-olah mencabar undang-undang negara serta tidak menghiraukan sensitivi agama.

Bagaimanapun, video iklan raya berkenaan didapati telah dipadamkan berkemungkinan sudah dibuat aduan orang ramai kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

Persoalannya, apa tujuan iklan promosi aktiviti perjudian dibuat sempena hari raya umat Islam?

“Sukar nak percaya macam mana syarikat buat iklan raya. Atau memang ramai Muslim yang main (judi)?

“Korang tak kaya main benda ni, yang kaya cuma tauke perangai macam ni. Korang terduduk termenung gaduh dengan suami isteri duit tak cukup sebab kalah judi.”

Setakat ini, beberapa ahli politik yang turut terpanggil menyuarakan isu ini menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan segera.

BACA: Papan Iklan Unsur Lucah Dirobohkan, Ramai Masih Tak Tahu Saluran Betul Untuk Memohon