Beza Tepung Pelita, Limas, Tako

Mana Satu Tepung Pelita, Tako Dan Limas?

Perbezaan tepung pelita, tako dan limas.

Menjelangnya bulan Ramadan, telah menjadi tradisi rakyat Malaysia membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.

Antara juadah yang sinonim dijual di bazar Ramadan ialah martabak, roti john, dan pelbagai kuih-muih.

Antara kuih-muih yang amat popular apabila setibanya bulan Ramadan, pastilah kuih tepung pelita.

Jelaslah bahawa amalan membuat serta menjual kuih-muih tradisional masih lagi popular dan hangat di pasaran walaupun bersaing dengan kuih-kuih moden.

Pernahkan anda mahu membeli kuih tepung pelita tetapi apabila dirasa teksturnya tidak sama dan rupanya itu adalah tako atau limas?

Itu bermakna anda keliru kerana hanya mengenal bentuknya sekali pandang tanpa mengetahui nama sebenar kuih tersebut.

Agar tidak lupa dan tersalah anggap selepas ini, ada baiknya kita mengenali lebih lanjut tentang ketiga-tiga kuih ini memandangkan rupanya seakan sama.

Tepung pelita

Beza Tepung Pelita, Limas, Tako
Sumber: mStar

Umum mengetahui, tepung pelita terdiri daripa dua lapisan iaitu bahagian bawah berwarna hijau pandan serta manis. Manakala bahagian atas berwarna putih berlemak kerana santan yang digunakan.

Bahannya diperbuat daripada tepung beras yang diadun dengan santan cair, gula, pati daun pandan dan sedikit kapur. Ia dimasak dalam acuan yang diperbuat daripada daun pisang.

Bagi mengekalkan Tepung Pelita atau sering dikenali kuih sampan sebagai warisan, ia telah diangkat sebagai warisan Kebangsaan 2015 dibawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Tako

Beza Tepung Pelita, Limas, Tako

Menurut sumber, kuih tako berasal dari selatan Semenanjung. Sama seperti kuih tepung pelita yang mempunyai dua lapisan, tako menggunakan tepung jagung.

Paling ketara, kuih tako dimasak di dalam acuan atau kelongsong daun pandan dan biasanya mempunyai isi di dalamnya seperti sengkuang cina, jagung ataupun nangka.

Limas

Beza Tepung Pelita, Limas, Tako

Limas juga mempunyai rasa lemak manis seperti kuih-kuih di atas dan turut mempunyai dua lapisan.

Secara ringkas, kuih limas merupakan kuih tradisi negeri Perak. Sekali pandang, fizikalnya sama seperti kuih tepung pelita ataupun kuih tako disebabkan adunan kuih tersebut diisi di dalam kelongsong daun.

Namun, yang membezakan kuih limas ialah bahan asasnya daripada tepung gandum dan acuannya sama seperti kuih tepung pelita menggunakan daun pisang.

Kuih limas mempunyai aroma harum daun pisang, manakala rasanya berlemak manis, lembap dan lembut.

Ada kala, peniaga sendiri yang salah menamakan ketiga-tiga jenis kuih tersebut. Jadinya, kita perlu bijak mengenal pasti antara tepung pelita, tako dan limas supaya tidak salah selepas ini.

Sumber: Wikipedia, Suara Perak, Jabatan Warisan Negara