Tawar Khidmat Kejut Sahur Orang Bujang

Lelaki Gantung ‘Banner’ Tawar Khidmat Kejut Sahur Untuk Golongan Bujang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tiada alasan untuk yang bujang tak bangun sahur!

Bersahur digalakkan bagi mereka yang berpuasa kerana ia adalah sunnah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bersahur membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan.

Terlajak tidur atau sindrom liat bangun sahur sudah menjadi fenomena biasa bagi sesetengah orang bujang tatkala tibanya bulan puasa, lebih-lebih lagi bagi yang tinggal bersendirian.

Malah ada juga yang memilih untuk makan sebelum tidur kerana begitu sayangkan waktu dibuai mimpi apabila perlu bangun sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit terakhir sebelum tibanya waktu imsak untuk bersahur.

Lantaran itu, seorang lelaku berasal dari Magelang, Jawa tengah mencuri tumpuan ramai apabila dia memasang banner untuk mempromosikan perkhidmatan kejut sahur menerusi panggilan telefon sempena Ramadan.

Perkhidmatan yang ditawarkan Khoirul Anam itu khas untuk golongan bujang bangun untuk bersahur bagi menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan percuma di seluruh Indonesia.

Dia memuat naik perkhidmatan dan mempromosinya di laman Instagram, mendapat perhatian netizen dan berjaya memperoleh seramai 11 pelanggan pada hari pertama.

Tawar Khidmat Kejut Sahur Orang Bujang

“Pada puasa pertama, ramai yang hubungi saya untuk bantu kejutkan bersahur. Anggaran dalam 11 orang.

“Bagaimanapun hanya tiga orang sahaja mengangkat telefon, selebihnya masih lena. Saya telah hubungi mereka sebanyak tiga kali, jika tidak bangun, saya hubungi orang lain,” katanya.

Jelasnya, dia bersedia untuk dihubungi pada 2 pagi sehingga waktu Imsak selama sebulan. Malahan, turut menawarkan ganjaran berbuka puasa bersama bagi mereka yang menggunakan perkhidmatannya.

Kongsinya, dia melakukan secara percuma kerana bimbang dia juga tertidur sekali jika mengenakan bayaran.

“Sengaja saya bagi percuma. Kalau bayar, takut saya yang tertidur. Kalau percuma kan seronok, sama-sama tak rugi,” ujarnya yang gembira kerana ramai memberi sokongan terhadapnya.

BACA: Senarai Aplikasi Untuk Anda Gandakan Ganjaran Pahala Sepanjang Ramadan

Sumber: Tribunnews