Kejadian Ribut Dinding Kaca Bangunan Etiqa Pecah

Kejadian Hujan Lebat Dan Ribut Hingga Dinding Kaca Bangunan Pecah Tanda Cuaca Malaysia Makin Ekstrem

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Belakangan ini, boleh dikatakan kerap kali Malaysia menghadapi cuaca yang agak ekstrem sehingga menyebabkan sesetengah kawasan mengalami kerosakan kerana terkena badai hujan lebat beserta ribut.

Semalam menyaksikan kejadian hujan ribut mengganas di sekitar Kuala Lumpur dan kawasan berdekatan.

Kebetulan umat Islam di sini sedang menyambut kedatangan bulan Ramadan, namun ujian melanda kepada para peniaga bazar apabila perniagaan mereka sedikit terjejas akibat angin kencang sehingga beberapa khemah dan kanopi runtuh seperti yang tular di media sosial.

Bukan hanya di bazar Ramadan, turut tular kejadian ribut mengganas di bangunan Etiqa berhampiran Masjid Jamek di ibu kota.

Menerusi satu video yang dikongsikan pengguna Twitter @jayyidkhairir, kelihatan beberapa kakitangan dalam bangunan berkenaan berlari menyelamatkan diri ketika ribut melanda.

Tidak semena-mena, dinding kaca di satu sudut di bangunan tersebut pecah berderai yang berkemungkinan akibat ditolak angin kuat dari arah luar.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan menerusi ruangan komen, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku. Namun, sebahagian yang berada di lokasi kejadian berasa trauma dengan situasi panik tersebut.

Kejadian Ribut Dinding Kaca Bangunan Etiqa Pecah

Rata-rata netizen melihat rakaman kejadian itu turut berasa terkejut dan mendoakan keselamatan mereka yang berada di sana.

Melihat kejadian sebegini, menandakan Malaysia sedang menghadapi cuaca ekstrem seperti yang dinyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi sumber Harian Metro.

“Satu masa nanti Malaysia akan dibadai tsunami mega, dilanda gempa bumi atau tenggelam ke dalam lautan. Tiada sesiapa yang menolak pendapat itu jika perubahan cuaca terus melanda negara ini.”

Menurut Ketua Pengarah METMalaysia, Jailan Simon, daripada dulu hingga sekarang, cuaca di Malaysia tidak banyak berubah tetapi suhu yang mengalami perubahan ketara.

“Jika kita lihat graf, kita akan nampak dengan jelas peningkatan suhu. Daripada segi hujan tidak begitu jelas, cuma dalam tempoh kebelakangan ini, kita baru menemui cuaca yang sebelum ini kita tak pernah akui.

“Contoh, puting beliung mini mula kelihatan terutama di utara Semenanjung. Perubahan ini disebabkan cuaca ekstrem seperti hujan lebih lebat atau ribut petir.

Terdahulu, kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim mengatakan Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim kerana bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim ketara mengundang kritikan netizen.