Pelitup Muka Ada Cacing

Video Tular Cacing Halus Di Pelitup Muka Undang Pelbagai Reaksi

Video mempamerkan penampakan cacing halus di permukaan pelitup muka.

Saringan suhu badan, pemakaian pelitup muka antara peraturan yang perlu dituruti masyarakat dunia mengikut negara masing-masing sejak wabak berjangkit COVID-19 melanda.

Seperti salah satu aksesori wajib bagi setiap individu, pelitup muka kini dilihat antara barangan yang mudah dijumpai di mana-mana untuk kemudahan pelanggan.

Pelbagai bentuk pelitup muka berfesyen yang wujud untuk melengkapkan gaya masing-masing malah dilihat makin hari makin canggih pula.

Namun, tular sebuah klip video di laman sosial di sini yang memaparkan terdapat cacing halus di permukaan pelitup muka.

Dalam video yang berdurasi 2 minit 36 saat itu, pelitup muka didakwa mengandungi cacing halus apabila dirakam dengan lebih dekat. Difahamkan, video berkenaan dilaporkan berlaku di luar negara.

Melihat pada ruangan komen, ada yang menyangkal dan tidak kurang juga ada turut berasa sangsi melihat video itu kerana dikatakan terlihat penampakan cacing halus pada minit ke 2:01.

https://www.facebook.com/100000924842858/posts/5567414329966007/?d=n

Tidak pasti sejauh manakah kebenaran video itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagaimanapun tidak menerima sebarang laporan berhubung isu terbabit di sini.

Pelitup Muka Ada Cacing

Memetik laporan PN BBC, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan rapi berhubung pelitup muka yang dipasarkan di negara ini.

Menurut KPDNHEP, mereka sentiasa memantau penghasilan pelitup muka selain membuat kajian terperinci berhubung produk terbabit bagi memastikannya mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan.

“Walaupun kita (kementerian) tidak menerima apa-apa laporan daripada pengguna, pasukan kita tetap pergi ke kilang pembuatan pelitup muka ini untuk memantau dan mengesan sama ada produk itu yang dibuat untuk pasaran mengikut spesifikasi tepat atau sebaliknya.

“Ada dua tiga kajian yang kita lakukan mendapati rupanya ada pelitup muka dihasilkan langsung tidak memberi kesan kepada pengguna,” jelasnya.

Katanya lagi, KPDNHEP menjalankan kajian dengan kerjasama makmal Kementerian Kesihatan (KKM), makmal swasta, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad), serta syarikat yang memiliki kemudahan untuk mengkaji secara terperinci berhubung keberkesanan pelitup muka dihasilkan kilang sebelum dipasarkan.