MR D.I.Y Pasaran Saham

Pemilik MR DIY Antara Bilionair Baharu Yang Tersenarai Dalam Forbes

Pemilik MR DIY Antara Bilionair Baharu Yang Tersenarai Dalam Forbes.

Senarai bilionair Forbes ke-35 telah menyaksikan beberapa perubahan sebagai individu paling kaya di Malaysia.

Menurut senarai terbaharu Forbes, empat individu baharu yang berjaya memasuki senarai jutawan Forbes iaitu adik-beradik Tan dari MR DIY group (M) Bhd, Tan Sri G Gnanalingam dari Westports Holdings Bhd dan pengasas bersama serta Ketua Pegawai Eksekutif Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee.

Dalam senarai tahunan jutawan dunia Forbes ke-35, adik-beradik Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei tersenarai buat kali pertama dengan anggaran nilai bersih masing-masing sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.44 bilion) dan AS$1.1 bilion (RM4.55 bilion).

Kejayaan mereka berikutan tawaran awal MR DIY di Bursa Malaysia pada Oktober tahun lalu dengan permodalan pasaran sebanyak RM10 bilion setelah disenaraikan.

Penyenaraian itu menjana kira-kira RM1.5 bilion daripada pelabur institusi dan runcit. Bermula harga tawaran RM1.60 pada Oktober, saham MR DIY melonjak lebih dua kali ganda setakat ini.

Senarai bilionair Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih G Gnanalingam kira-kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion), manakala Eng Kee, yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Krisis Pandemik COVID-19 Telah Lahirkan Dua Jutawan Baharu Malaysia
Sumber: Coconuts

Secara keseluruhan, Forbes ke-35 menyenaraikan pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan sebagai bilionair paling kaya di negara ini dengan nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion).

Ini diikuti oleh T Ananda Krishnan dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow.

Turut disenaraikan adalah bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Bilionair lain termasuk Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay dan hartawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Manakala di peringat global, Jeff Bezos yang akan melepaskan jawatannya sebagai CEO Amazon tidak lama lagi kekal mengungguli senarai bilionair terkaya dunia buat tahun keempat berturut-turut.

Diikuti CEO Tesla, Elon Musk dan CEO LVMH Moët Hennessy iaitu pemilik jenama mewah LV, Bernard Arnault.

Sumber: Awani