Pertikaian Chatime Tealive Malaysia

Kisah Pertikaian Antara Chatime Dan Tealive Sehingga Pernah Diarah Tutup Seluruh Malaysia

Kisah Pertikaian Antara Chatime Dan Tealive

Walaupun semakin banyak jenama minuman teh boba atau bubble tea muncul di Malaysia, namun dua jenama ini masih menjadi pilihan kebanyakan orang ramai.

Pergi ke mana-mana saja sama ada di pusat membeli-belah atau di deretan kedai, mahupun di stesen minyak pasti ada minuman teh boba Chatime atau Tealive.

Jika anda masih ingat pada pertengahan tahun 2018, pernah berlaku rentetan pertikaian antara dua jenama besar teh boba ini. Ya, sehinggakan semua cawangan Tealive yang sedang beroperasi di seluruh negara pada ketika itu diarahkan tutup oleh mahkamah.

Rentetan isu yang timbul itu juga membuatkan orang ramai menyangka Chatime telah bertukar nama kepada Tealive. Sebaliknya dua jenama ini adalah entiti berbeza dan tidak mempu­nyai kaitan.

Chatime: minuman dari Taiwan ke Malaysia

La Kaffa International Co Ltd , syarikat minuman dan makanan dari Taiwan membawa masuk jenama Chatime memasuki Malaysia sejak tahun 2011.

Syarikat Loob Holding telah menandatangani perjanjian jangka panjang dengan La Kaffa dengan pembukaan cawangan pertama di Pavilion.

Pada Januari 2017, La Kaffa sebagai pemilik jenama Chatime telah membuat pengumuman tentang penamatan Loob Holding sebagai pemegang lesen francais utama di Malaysia.

Perkara ini telah mengejutkan Loob Holding, memandangkan mereka masih mempunyai kontrak yang berbaki 20 tahun.

Pembukaan Tealive

Setelah penamatan kontrak sebagai pemegang lesen francais utama Chatime, Loob Holding telah membuka perniagaan mirip Chatime yang diberi nama Tealive pada bulan Februari 2017.

Orang ramai yang tidak mengetahui situasi ini menganggap Chatime ditukarkan jenama kepada Tealive apabila beberapa cawangan berubah penjenamaan tetapi menunya masih hampir sama.

Pertikaian Chatime Tealive Malaysia
Sumber: Google

Dari sinilah bermulanya pertikaian antara dua syarikat terbabit yang mana pada 2018, Chatime telah mengeluarkan surat tuntutan atas dasar fitnah dan salah anggap bahawa jenama mereka telah ditukar kepada Tealive.

La Kaffa menyatakan bahawa Loob Holding telah melanggar perjanjian di bawah Seksyen 27 Akta Francais 1998 yang mana operasi Tealive harus ditutup.

Ada dua perjanjian yang didakwa telah dilanggar oleh Loob holding iaitu menangguhkan bayaran royalti dan juga menggunakan bahan-bahan yang tidak diluluskan oleh La Kaffa.

Pertikaian selesai di luar mahkamah

Beberapa hari kemudian, Loob Holding dan La Kaffa akhirnya mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan pertikaian mengenai jenama Chatime di luar mahkamah.

Kedua-dua syarikat berkenaan bersetuju untuk menarik balik semua prosiding mahkamah dan timbang tara di Singapura.

Dalam kenyataan bersama, penyelesaian itu tidak dianggap oleh mana-mana pihak sebagai pengakuan sebarang tuduhan dan liabiliti dan kedua-dua pihak juga bersetuju semua terma lain akan kekal sebagai peribadi dan sulit.

Kini, kedua-dua jenama itu mempunyai kekuatan dan peminatnya tersendiri. Bagi anda yang pernah merasai produk minuman kedua-dua jenama ini, yang manakah lebih menikmati pilihan hati?

BACA: Selain Tealive, CoolBlog Dan Chatime Majoriti Kedai Boba Lain Tiada Sijil Halal – JAKIM

Sumber: BH, Iluminasi