Jepun Beri Cuti Pekerja Sedih Idol Bersara

Syarikat Di Jepun Beri Cuti Bergaji Kepada Pekerja Yang Sedih Kerana Idol Mereka Bersara

Syarikat Di Jepun Beri Cuti Bergaji Kepada Pekerja Yang Sedih Kerana Idol Mereka Bersara.

Tidak dinafikan bahawa di dalam kehidupan setiap manusia pasti memiliki seorang tokoh atau individu yang terkenal yang dikagumi serta dijadikan sebagai idola.

Kini, sudah menjadi satu fenomena yang mana peminat terlalu taksub dengan idol atau individu yang mereka minati, sentiasa tahu tentang perkembangan semasa idol mereka.

Kita sedia maklum, Jepun adalah negara yang sering dilabel tabiat kerja paling esktrem di dunia sehingga wujudnya istilah ‘karoshi’ iaitu budaya terlebih kerja sampai mati.

Kebanyakan para pekerja di sana terlalu sibuk dengan kerja hinggakan tiada masa untuk hal-hal peribadi dan tiada masa untuk mendapat rehat sepatutnya.

Namun, muncul pelbagai dorongan untuk perubahan sejak 2012 yang berusaha membangunkan aspek kesihatan, sosial dan produktiviti berikutan etika kerja melampau yang terlalu tinggi di Jepun, walaupun masih belum mencapai sasaran secukupnya.

Anda pernah dengar syarikat di negara Matahari Terbit beri cuti putus cinta dan cuti 6 hari kepada pekerja yang tidak merokok?

Kali ini, sebuah syarikat di sana menawarkan cuti bergaji kepada para pekerjanya yang bersedih atau berkabung jika idol kegemaran mereka bersara.

Pengasas dan Presiden Hiroro, sebuah agensi media yang berpangkalan di Tokyo, Shizen Tsurumi mengatakan bahawa keadaan mental dan emosi pekerja sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

Jadinya, Presiden Hiroro mengeluarkan polisi syarikat yang mana para pekerjanya boleh mengambil cuti bergaji untuk menghilangkan rasa sedih dan menstabilkan emosi atas persaraan idol mereka dari dunia seni.

Jepun Beri Cuti Pekerja Sedih Idol Bersara
Sumber: Google

Polisi itu diberi nama Oshi Vacation System. Dalam fandom Jepun, ‘oshi’ adalah perkataan slanga yang digunakan untuk merujuk kepada idol kegemaran seseorang.

Mereka boleh mengambil cuti sehingga 10 hari jika oshi nombor satu mereka bersara dan cuti tiga hari untuk oshi kategori biasa.

Dan cuti tersebut dikategori sebagai cuti bergaji serta boleh memilih tempoh cuti yang dimahukan.

Misalnya, jika idol tersebut mengumumkan mereka bertunang, boleh mengambil beberapa hari cuti awalan. Apabila idol itu bakal melangsungkan perkahwinan, sambung semula cuti yang belum dihabiskan.

Tsurumi terinspirasi untuk mewujudkan polisi ini setelah memerhatikan beberapa pekerjanya tidak fokus dan terganggu di tempat kerja selepas mendapat khabar berita sedih daripada idol mereka.

Tsurumi mahu para pekerjanya dapat menstabilkan mental dan membuang jauh-jauh rasa sedih terhadap idol mereka.

Tetapi Oshi Vacation System bukan hanya untuk mereka berkabung dan berasa sedih. Pekerja juga boleh menggunakan polisi itu untuk keluar bekerja lebih awal atau mengambil cuti pergi ke konsert, yang biasanya diumumkan hanya beberapa jam sebelum acara.

Bagi orang kebiasaan, ini mungkin kelihatan seperti berlebihan. Tetapi bagi syarikat Hiroro, mereka amat menitik berat nilai sebegini.

Seperti yang terpampang di laman webnya,”tiada yang memotivasikan seseorang untuk bekerja lebih keras berbanding perasaan yang mereka miliki untuk orang dan perkara yang mereka sukai”.

Sumber: Sora News24