Anggota Polis Hilang Ditemui Hidup Tsunami Aceh

Hilang Dan Dipercayai Mati Ketika Tsunami Aceh 17 Tahun Lalu, Anggota Polis Ini Ditemui Masih Hidup

Anggota polis ditemui hidup selepas hilang ketika tsunami Aceh 17 tahun lalu.

Bagi sebahagian penduduk di Aceh, peristiwa tsunami 17 tahun lalu itu masih memberi kesan mendalam kepada mereka.

Kejadian itu masih segar dalam ingatan dan merupakan peristiwa pahit yang sentiasa dikenang di mana ratusan ribu nyawa terkorban seperti di Aceh Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka dan Malaysia sendiri.

Tsunami 2004
Sumber: Facebook

BACA: Mangsa Tsunami 2004 Kongsi Peristiwa Pahit Untuk Generasi Masa Depan Ambil Iktibar

Pelbagai kisah aneh dan misteri ketika dan selepas kejadian tsunami 2004, dan tidak disangka baru-baru ini seorang anggota polis yang dilaporkan hilang dan dipercayai meninggal dunia kini ditemui masih hidup.

Anggota polis itu bernama Bharaka Zainal Abidin yang dikenali sebagai Asep berjaya dijumpai masih hidup yang mana dia kini berada di Hospital Mental Banda Aceh.

Berita Asep ditemui sebagai pesakit di hospital itu tersebar selepas dimuat naik pertama kali dalam media sosial.

Menurut media tempatan, ketika kejadian Tsunami tersebut, Asep dilantik sebagai pembantu operasi keselamatan bagi Brimob Rejimen II Kedung Halang Bogor
ke Polis Aceh.

Dia ditempatkan di Banda Aceh ketika masih terdapat saki baki kelompok Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Namun, ketika Tsunami melanda Aceh dan kawasan sekitarnya, Asep dilaporkan hilang.

“Tsunami pagi itu menyapu bersih tempat Asep bertugas bersama bangunan lain di sekitar situ dan menelan puluhan ribu nyawa. Asep dilaporkan hilang.”

Selepas berita penemuan Asep tular, beberapa anggota polis yang mengakui sebagai teman satu angkatan datang ke rumah sakit jiwa itu untuk memastikannya.

Anggota Polis Hilang Ditemui Hidup Tsunami Aceh

Asep dikatakan menjadi pesakit sejak 2009 dan pernah berkunjung ke kampung Fajar untuk tinggal di sana, namun, tidak diterima oleh penduduk sehingga menyebabkan dia kembali semula ke hospital.

Walau bagaimanapun, pihak polis akan menjalankan ujian DNA, cap jari dan pengenalan tanda lahir terhadap Asep untuk mengesahkan perkara itu.

Keluarga Asep yang tinggal di Jawa Barat juga telah dihubungi mengenai perkara ini dan kes ini masih dalam siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak perempuan Indonesia disangka mati setelah hilang dihanyutkan tsunami Aceh ditemui semula selepas 10 tahun peristiwa itu.

Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak itu baru berusia empat tahun telah dibawa arus dan terpisah daripada keluarganya.

Sumber: Merdeka