Ubat Nyamuk Viral Bahaya

Wangi Dan Berkesan Tapi Ubat Nyamuk ‘Viral’ Ini Beri Impak Bahaya Kepada Kesihatan

Ubat Nyamuk Viral Ini Beri Impak Bahaya Kepada Kesihatan.

Nyamuk sememangnya menjadi musuh manusia. Gigitannya bukan saja membuatkan gatal-gatal kulit, malah membawa virus pelbagai penyakit berbahaya seperti denggi, malaria dan chikungunya.

Keadaan itu seterusnya memerlukan kita mengambil langkah dan bertindak dengan lebih proaktif bagi memastikan kesihatan diri dan semua yang berada di sekeliling kita terjamin.

Pelbagai cara orang sekarang menghalau nyamuk seperti menggunakan penyembur, ubat nyamuk elektrik atau ubat nyamuk bakar.

Macam orang dahulu, mereka hanya menggunakan lingkaran ubat nyamuk sahaja kerana ia akan mengeluarkan bau asap yang kuat sehingga dapat mematikan dan menghalang nyamuk.

Sejak berlakunya cuaca panas di sini, kehadiran nyamuk semakin mengganas dan ini membuatkan penggunaan penghalau nyamuk digunakan secara meluas.

Sehingga tular di media sosial salah satu produk penghalau nyamuk yang dikatakan cukup berkesan membunuh serangga itu dengan pantas.

Keberkesanan ubat nyamuk itu menjadikannya ‘viral’ dan ramai mencuba mengatakan ia sememangnya berbaloi untuk dibeli.

Walau bagaimanapun, Public Health Malaysia mendedahkan ubat nyamuk seperti itu sebenarnya bahaya digunakan kerana produk berkenaan tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak.

“Jangan berani untuk gunakan produk tidak berdaftar secara sesuka hati kerana ia mungkin mengandungi bahan beracun yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan khususnya kanak kanak,” tulisnya.

Pada tahun 2018, dua produk lingkaran nyamuk yang cukup popular digunakan telah dilarang penjualannya di sini.

Ia adalah ubat nyamuk jenama Zenden Micro-Smoke dan Jianbao Mosquito Coil keluaran negara China diharamkan penjualannya oleh Jabatan Pertanian.

“Ubat nyamuk Zenden Micro-Smoke yang diimport dari China contohnya dikesan mengandungi bahan Class 1A carcinogen yang boleh menyebabkan kanser.

“Begitu juga dengan Tian Hong Mosquitos Coil, Lengen Mocro-Smoke 12 Hours, Jianbao Mosquito Coil yang masih dijual secara berleluasa di Shopee.”

Ubat Nyamuk Viral Bahaya
Sumber: PHM

Selain itu, mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pengguna yang memiliki dan menggunakannya boleh didakwa di bawah Seksyen 53A(1)(A) akta yang sama dan jika disabit kesalahan akan dihukum penjara selama setahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Berbanding menggunakan bahan kimia yang turut berpotensi mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, cuba kaedah alternatif yang selamat untuk menghalau nyamuk di rumah seperti gunakan serai, lemon, tanaman bunga lavender dan bunga tahi ayam.