Asal Usul Mangkuk Tingkat Di Malaysia

Asal Usul Dan Evolusi Mangkuk Tingkat Di Malaysia

Asal Usul Dan Evolusi Mangkuk Tingkat Di Malaysia

Baru-baru ini tular sekeping gambar seorang pelajar sedang menikmati makan tengah hari di meja sekolahnya.

Yang menjadikan gambar berkenaan tular kerana bekas makanan yang dibawa pelajar terbabit disediakan di dalam mangkuk tingkat.

Dalam pada netizen memuji kesungguhan dan kerajinan ibunya yang menyediakan bekal untuk anaknya, ada juga yang memberi komen negatif dan galak menjadikannya bahan jenaka.

Segelintir netizen mengecam ibu pelajar itu kerana mendakwa sengaja meraih perhatian. Malahan, ada yang merasakan mangkuk tingkat itu menyusahkan pelajar dan guru di sekolah untuk diuruskan.

Maka, timbullah isu yang mana masing-masing memberi pendapat sehingga menimbulkan perbalahan.

Persoalannya, adakah penggunaan mangkuk tingkat hanya terhad sebagai kiriman makanan kepada tetamu atau buah tangan ketika berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai?

Berbicara mengenai mangkuk tingkat atau turut dikenali mangkuk tepen, tahukah anda budaya penggunaan mangkuk tingkat ini sudah menjadi tradisi sejak lebih 100 tahun dahulu?

Asal Usul Mangkuk Tingkat Di Malaysia
Sumber: Malay Mail

British bawa budaya mangkuk tingkat ke Tanah Melayu

Penggunaan mangkuk tingkat bermula di sini semasa era kolonial British pada akhir abad ke-18 dari India. Perkataan ‘tiffin’ merujuk kepada makan tengah hari atau hidangan ringan antara sarapan pagi dan makan malam.

Manakala sebutan tepen pula berasal daripada perkataan ‘tiffin’ yang digunakan ketika era British di Tanah Melayu.

Seabad kemudian, mangkuk tingkat yang menyimpan makanan sebagai bekalan ke tempat kerja atau dalam perjalanan jauh digunakan secara meluas di seluruh Semenanjung terutama di Negeri-negeri Selat.

Malahan, penggunaan mangkuk tingkat di India juga dikatakan menjadi asal usul kepada penciptaan bekas makanan itu di Malaysia.

Bekas menyimpan makanan itu digunakan secara meluas di Barat mahupun Asia Tenggara. Di Asia, penggunaan mangkuk tingkat mula dikesan di Asia Selatan sebelum tersebar luas ke India, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura.

Jika diamati, kebanyakan ciri-ciri mangkuk tingkat mempunyai dua atau tiga tingkat walaupun terdapat versi yang lebih rumit apabila memiliki empat atau lima tingkat. Tingkat paling bawah atau yang besar digunakan untuk menyimpan nasi atau roti.

Mangkuk tingkat juga bertindak seperti termos yang menyimpan makanan panas untuk kekal panas dan makanan sejuk untuk kekal sejuk. Ia digunakan untuk membawa makanan ke tempat kerja atau perjalanan panjang, agar makanan yang dibawa sentiasa segar dan tidak tercemar.

Evolusi mangkuk tingkat

Bagi masyarakat Baba Nyonya, mangkuk tingkat mereka dipanggil bakul sia, yang berkait rapat dengan mangkuk tingkat yang terdapat di China.

Bakul sia atau sia nah bermaksud bakul kesyukuran yang mempunyai satu hingga lima ruang penyimpan makanan disusun bertingkat dalam satu bekas. Lazimnya, didapati dalam bentuk bulat, berwarna merah dan hitam dengan hiasan emas sebagai simbol kekayaan serta kemakmuran.

Asal Usul Mangkuk Tingkat Di Malaysia

Mangkuk tingkat di India dipanggil ‘dabbas’ dan terdapat sitem perkhidmatan penghantaran makanan mengunakan bekas makanan itu yang berusia lebih 125 tahun.

Penghantar bekal makanan ini dipanggil ‘dabbawala’ dan sangat cekap menghantar makanan tengah hari yang diisi ke dalam mangkuk tingkat ke seluruh pelosok bandar.

Asal Usul Mangkuk Tingkat Di Malaysia

Di Indonesia pula, mangkuk tingkat dikenali sebagai ‘rantang’ dan sering digunakan sebagai bekalan makanan untuk perajurit ketika pergi berperang sebelum digunakan secara meluas oleh golongan isteri untuk menghantar makanan tengah hari kepada suami di tempat kerja.

Asal Usul Mangkuk Tingkat Di Malaysia

Tidak kira sama ada mangkuk tingkat diperbuat daripada tembaga, enamel, mahupun plastik, moden atau klasik, sama ada digunakan oleh orang kenamaan atau biasa, ia sudah pasti menjadi simbol warisan budaya kita yang sangat penting.

Sumber: HM, Bernama