Teknologi Deep Nostalgia

“Macam Filem Harry Potter”- Lihat Teknologi AI Deep Nostalgia ‘Hidupkan’ Foto Lama

Teknologi Deep Nostalgia hidupakan gambar pegun.

Jika anda pernah menonton siri filem Harry Potter, pasti teringat babak yang mana potret-potret yang digantung pada dinding Hogwarts dan foto-foto di akhbar Daily Prophet bergerak-gerak.

Pernahkah anda terbayang jika suatu hari nanti foto bergerak itu wujud dalam alam realiti?

Teknologi Deep Nostalgia

Menerusi teknologi AI yang dinamai Deep Nostalgia, ia mampu mengubah foto dan lukisan potrait lama menjadi gambar bergerak.

Teknologi AI kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) adalah salah satu cabang ilmu sains komputer yang membolehkan mesin seperti robot, komputer, telefon, aplikasi atau sistem melaksanakan tugasan tertentu secara serupa atau melangkaui kepintaran manusia.

Dalam kehidupan seharian, tanpa kita sedari banyak elemen AI terutamanya yang tertanam dalam telefon pintar telah berjaya dihasilkan.

Ini termasuklah keupayaan meramal umur seseorang pada fungsi kamera, cadangan ayat untuk ditulis dalam e-mel, cadangan barangan untuk dibeli di platform pembelian dalam talian dan pelbagai lagi.

Syarikat geneologi MyHeritage melancarkan fitur Deep Nostalgia, membolehkan pengguna mengubah gambar pegun menjadi animasi ringkas seolah-olah orang di dalam gambar itu sedang tersenyum, mengerdipkan mata dan mengangguk.

Ia seperti ciri iOS Live Photos, yang menambahkan beberapa saat video untuk membantu mereka yang sedang mengambil gambar melalui telefon itu mencari sudut yang terbaik.

Bezanya, teknologi Deep Nostalgia ini mengambil gambar dari pelbagai jenis kamera dan menjadikan gambar itu ‘hidup’.

Teknologi Deep Nostalgia

Bunyinya agak ‘creepy’ bukan? Bayangkan potret seperti Albert Einstein, Isaac Newton, Adolf Hitler dan nama-nama yang terpahat dalam sejarah sedang tersenyum sambil mengerdipkan mata kepada anda.

Tujuan teknologi ini diciptakan adalah untuk mereka yang ingin mengenangkan sosok yang telah tiada. Membolehkan mereka memuat naik foto orang tersayang yang sudah meninggal dunia dan ingin melihat mereka dalam bentuk bergerak.

Anda yang ingin mencubanya, boleh ke laman MyHeritage dan daftar akaun secara percuma untuk memuat naik foto yang diinginkan.

MyHeritage akan meningkatkan kualiti foto sebelum dianimasikan. Setelah proses animasi selesai, pengguna boleh memuat turun dalam bentuk fail GIF.

Sumber: The Verge