
TNB Dedah Penapis Air Antara Punca Bil Elektrik Tinggi
Penapis Air Antara Punca Bil Elektrik Tinggi.
Cuaca panas yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi.
Kebiasaanya, apabila berbicara soal bil elektrik tinggi, ramai akan tertumpu dengan penggunaan penyaman udara ataupun alat pemanas air.
Mungkin sudah menggunakan pelbagai cara untuk menjimatkan bil elektrik yang dibaca melalui mana-mana media tetapi tetap juga tidak begitu ketara penurunan bil.
Menerima aduan daripada pengguna mengapa bil elektrik masih tinggi walaupun tidak menggunakan penyaman udara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil memberi penjelasan.
BACA: 5 Tip Jimat Bil Elektrik Di Rumah Walaupun Guna ‘Air Cond’
Menurut TNB, mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.
Ia disebabkan peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas.
“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu,” kata Ketua Retail TNB Selangor, Ismail Lathifi Teh.
Jelasnya, lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk.
Misalnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.
Jadi, jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.
Mungkin boleh cuba menggunakan cara ini untuk menjimatkan bil elektrik. Jika selama ini mesin penapis air rumah anda tidak pernah ditutup suisnya walaupun tidak digunakan dalam tempoh beberapa jam, cuba anda ubah waktu bekerja mesin itu.
Buat selama sebulan, kemudian bandingkan bil elektrik sebelum dan selepas hasil eksperiman itu.
Sumber: Bernama
Trending now



