Taj Mahal Malaysia Istana Sepachendera

Ibarat ‘Taj Mahal Malaysia’ – Istana Sepachendera, Lambang Cinta Sultan Kedah Untuk Isterinya

Taj Mahal Malaysia – Istana Sepachendera

Sebut sahaja tentang Taj Mahal, pasti ramai sudah maklum dengan kisah disebalik pembinaan bangunan yang menjadi salah satu keajaiban dunia yang amat mengagumkan.

Mengimbau ingatan, Taj Mahal adalah sebuah pusara atau makam, mengambil masa 22 tahun (1631-16530) untuk dibina dengan arahan Maharaja Mughal, Shah Jahan bagi memperingati isterinya yang paling disayangi, Mumtaz Mahal yang mangkat sewaktu melahirkan anak mereka yang ke-14.

Namun, tahukah anda Malaysia juga ada kisah yang hampir sama tetapi kurang dikenali oleh orang awam. Tetapi, bagi penduduk lama di sekitar situ mungkin sudah mengetahui kisah agung ini.

Lambang cinta Sultan Abdul Hamid untuk isterinya

Monumen sejarah ini dikenali sebagai Istana Sepachendra, adalah sebuah istana lama di Jalan Kampung Baru, Alor Setar.

Dikhabarkan, ia dibina Sultan Kedah ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah khusus untuk isterinya sebagai lambang kasih ketika era pentadbirannya pada 1882 hingga 1943. Sebab itulah ia turut digelar Taj Mahal versi Malaysia.

Isteri baginda, Che Sepachendera dikatakan berasal dari Siam. Maka, istana berkenaan dibina berpandukan seni bina Siam yang diadun ciri dan budaya Melayu.

Lebih menarik, Istana yang turut dikenali sebagai Istana Kampung Baru ini dibina menggunakan sejumlah putih telur dan manisan lebah yang dicampur bersama bancuhan simen untuk menguatkan lagi struktur dinding bangunan istana daripada ditelan zaman.

Malah, Istana Sepachendera adalah istana pertama Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, berikutan sebelum ini baginda bersemayam di Istana Anak Bukit.

Selain fakta disebalik pembinaannya, istana ini juga menyimpan 1001 kisah menarik, antaranya beberapa putera puteri yang diputerakan di situ.

Taj Mahal Malaysia Istana Sepachendera
Sumber: NST

Istana dijadikan sekolah

Pada peringkat permulaan, Istana Sepanchendera dijadikan pusat pendidikan awal buat golongan kerabat Diraja.

Kemudian, bangunan istana dijadikan sebagai Sekolah Perempuan Kampung Baru pada 1922 iaitu sekolah Inggeris perempuan pertama, atas usaha Tunku Ibrahim yang mementingkan sistem pendidikan selepas kemangkatan Che Sepanchendera.

Selepas itu, dijadikan pula Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim, diikuti cawangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah selepas Sekolah Perempuan Kampung Baru dipindahkan ke lokasi lain.

Dan kini bangunan istana lama itu telah kembali kosong tidak berpenghuni atau tidak digunakan lagi.

Walaupun bangunan bersejarah tiga tingkat berusia lebih 100 tahun ini dilihat masih kekal utuh sehingga ke hari tetapi kini berada dalam keadaan usang dan dinaiki semak samun.

Bagi mengekalkan warisan sejarah untuk tatapan orang ramai terutama generasi muda, pihak Muzium Kedah sedang mengadakan perbincangan untuk pemuliharan bagi mengembalikan semula keindahan istana lama itu.

Sumber: BH, SH

Lagi kisah berkaitan istana lama:

BACA: Kellie’s Castle, Istana Yang Tak Sempat Siap Kerana Pandemik