Najis Panda China

Ketaksuban China Dengan Najis Panda

Ketaksuban China Dengan Najis Panda.

Panda gergasi atau nama saintifiknya, Ailuropoda melanoleuco sinonim dengan kecomelan dan tingkah lakunya yang jinak, berbeza dengan saudara beruang yang lain.

Haiwan berasal dari China ini sangat berkarisma sehingga ia ditampilkan sebagai logo rasmi Tabung Hidupan Liar (WWF).

Jika dahulu dinyatakan bahawa spesies panda termasuk dalam senarai status haiwan terancam, namun usaha pemuliharaan panda di China berhasil, apabila populasi panda gergasi itu dilaporkan meningkat kepada 2060 ekor pada tahun 2016.

Kerajaan China sangat menitik berat hal ehwal haiwan yang menjadi kebanggaan negara itu kerana usaha membiak dan kajian berterusan dijalankan bagi mengelak panda pupus.

Antara usaha kerajaan China, termasuklah menanam semula pokok buluh di hutan, program pembiakan dalam kurungan dan peminjaman haiwan itu kepada zoo-zoo di luar negara.

Mungkin kebanggaan mereka dengan spesies panda menyebabkan tercetuskan pelbagai kajian terhadap haiwan itu termasuklah pada najis mereka.

Berikut merupakan antara perkara yang China lakukan terhadap najis panda.

Najis panda dikatakan bau harum sehingga ramai berebut untuk bau

Najis Panda China

Pengunjung Zoo Wuhan di wilayah Hubei, sanggup beratur panjang semata-mata untuk menghidu najis beruang panda yang didakwa berbau wangi.

Pihak zoo mempamerkan najis panda kepada pengunjung untuk menunjukkan bagaimana sistem penghadaman haiwan itu berfungsi.

Menurut mereka, pameran tersebut mendapat sambutan hangat para pengunjung yang kebanyakannya terkejut dengan bau ‘harum’ najis haiwan berkenaan.

Najis panda dikatakan bau harum kerana sebahagian besar diet haiwan itu adalah buluh, najisnya mengeluarkan bau buluh dan tidak berbau busuk.

Seekor panda dewasa mampu makan lebih 20 kilogram buluh sehari dan menghasilkan 10 kilogram najis yang lazimnya digelar ‘bebola hijau’.

Selain itu, najis panda pernah diolah menjadi cenderamata unik untuk pengunjung zoo.

Najis dijadikan tisu

Najis Panda China

Apabila ada peluang buat untung, jangan dilepaskan begitu sahaja. Termasuklah peluang menukar najis panda menjadi tisu tandas.

Itulah peluang yang diambil The Qianwei Sengseheng Paper Company di wilayah Sichuan apabila bergabung dengan Pusat Pemuliharaan dan Kajian Beruang Panda China untuk kitar semula najis binatang itu menjadi tisu tandas, napkin dan pelbagai lagi produk kegunaan rumah.

Tapi harga bagi sekotak tisu itu tidaklah begitu murah yang mana harganya adalah 43 yuan (RM26) sekotak, kira-kira 10 kali ganda daripada harga tisu biasa.

Najis itu diambil daripada panda di pusat pemuliharaan itu. Pekerja akan memilih najis panda yang kemudian dikukus dan disteril bagi mengambil gentian untuk membuat kertas atau tisu.

Teh paling mahal dari najis panda

Najis Panda China

Petani di wilayah Sichuan China telah mula menuai set teh baru untuk menjadi yang paling mahal di dunia.

Dikenali sebagai panda tea, teh tersebut merupakan dari jenis teh hijau yang mana najis panda itu digunakan sebagai baja kepada teh berkenaan.

Teh ini akan dijual pada harga hampir RM17,000 sekilogram atau lebih lagi, menjadikannya antara yang paling mahal di dunia.

Individu di belakang idea ini adalah An Shi, seorang pencinta panda dan pensyarah di Universiti Sichuan. Katanya, teh yang dibuat dari pokok yang dibaja dengan najis panda dapat mencegah kanser.

Kira-kira 10 tan najis panda diperlukan untuk menjadi baja supaya tanaman teh hijau tetap subur.

Begitulah ketaksuban China pada najis panda.

Sumber: Triphackerz, Media Permata, Odisi