Juruwang Hafal Kad Kredit Pelanggan

Kisah Juruwang Curi Butiran Kad Kredit 1,300 Pelanggan Dengan Menghafal, Guna Untuk Berjoli

Kisah Juruwang Curi Butiran Kad Kredit 1,300 Pelanggan Dengan Menghafal, Guna Untuk Berjoli.

Pernah dengar istilah memori fotografik (photographic memory)? Ianya kemampuan mengingat seperti yang dimiliki oleh detektif fiksyen Sherlock Holmes.

Memori fotografik digambarkan keadaan seseorang yang dapat mengingat dengan tepat setiap butiran yang dilihatnya.

Secara ringkasnya, konsep memori fotografik sangat mirip dengan cara kamera berfungsi untuk menangkap objek yang dipotret.

Teknik memori fotografik banyak diterapkan kepada golongan penghafal al-Quran di sini terutama dalam kalangan kanak-kanak kerana ia lebih berkesan, seolah-olah penghafal berada di hadapan komputer.

Menggunakan teknik tersebut amat diperlukan kepada golongan pelajar untuk mengingat topik yang dipelajari dan digunakan ketika dalam peperiksaan.

Namun, berbeza pula bagi seorang juruwang dari Tokyo, Jepun ini yang mana dia menggunakan teknik memori fotografik untuk mencuri maklumat kad kredit pelanggan di kedai dia bekerja.

Yusuke Taniguchi menyalahgunakan kebolehan luar biasanya untuk menghafal butiran kad kredit lebih 1,300 pelanggan kemudian menggunakan maklumat itu untuk membeli pelbagai jenis barang di Internet termasuk dua beg sandang mewah.

Juruwang itu mampu mengingati nombor 16 digit kad kredit termasuk nama penuh pemilik, tarikh luput serta kod keselamatan dalam tempoh beberapa saat ketika pelanggan membuat bayaran di kaunter.

Menurut laporan tempatan, beberapa barangan yang dibeli Taniguchi itu akan dijual balik kepada kedai pajak gadai untuk mendapatkan wang bagi menampung kehidupan sehariannya seperti membayar sewa rumah dan membeli makanan.

Juruwang Hafal Kad Kredit Pelanggan
Sumber: Elite Readers

Bagaimana dia kantoi melakukan kegiatan itu?

Pada Mac 2019, polis berjaya menjejak Taniguchi selepas dua beg sandang bernilai 270,000 yen (~RM10,495) yang dibeli di Internet menggunakan maklumat kad kredit pelanggan dihantar ke alamat rumahnya.

Ketika menyerbu rumahnya, polis menemui buku nota mengandungi ratusan maklumat kredit kad yang dicuri.

Taniguchi mengakui dengan memberitahu polis bahawa dia menghafal semua maklumat dalam kad kredit pelanggannya sebelum mencatatkannya dalam buku.

Perkara ini memperlihatkan walaupun anda berusaha untuk melindungi kad anda dari pembaca kad elektronik, namun masih tidak mencukupi untuk membuatkannya benar-benar selamat.

Justeru, kerap kali semak semula sejarah pembelian untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

BACA: Balas Dendam Dipecat, Wanita Ini Belanja Guna Kad Kredit Bekas Majikan

Sumber: Japan Today