Cara Tuntut Barang Rosak Dari Kurier

Peguam Kongsi Cara Tuntut Barang Rosak Atau Pecah Daripada Kurier

Cara Tuntut Barang Rosak Atau Pecah Daripada Kurier

Video tular di media sosial memaparkan petugas salah sebuah syarikat penghantaran barangan terkenal, J&T Express yang mencampak barang pelanggan ternyata menimbulkan kekecohan netizen.

Susulan kejadian itu, beberapa pelanggan mula merungut kerana barangan mereka ada yang rosak dan hilang.

Lantaran itu, seorang peguam yang sering berkongsi tentang hak pengguna di laman sosial, Puan Nor Zabetha pada kali ini menjelaskan mengenai hak pengguna apabila barang yang diterima rosak.

Cara Tuntut Barang Rosak Dari Kurier

Siapa perlu kita tuju? Penjual atau khidmat kurier? Mari kita lihat perkongsian Puan Nor Zabetha ini.

Andai kata ada menerima barangan rosak oleh J&T kerana situasi ini, saya telah membuat semakan kepada terma dan syarat bagi penghantaran oleh J&T. Setakat mana hak kita? Apakah situasi yang boleh kita tuntut?

Secara ringkasnya terma tersebut sangatlah kuat dan sangat menyebelahi J&T tetapi masih ada ruang, cara dan langkah-langkahnya kepada kita sebagai pelanggan.

Berikut merupakan cara-cara menuntut barang rosak atau pecah menerusi terma dan syarat kurier J&T Express.

1. Aduan perlulah dibuat dalam masa 48 jam. Terlepas 48 jam ini, J&T ada hak untuk tolak permohonan kita (Klausa 16.3 terma dan syarat)

2. Aduan atau claim boleh call hotline 24 jam mereka iaitu 1300-80-9000 atau email seperti dalam Gambar 1 dibawah.

3. Bagi barangan rosak atau hilang, Klausa 16.1 memperuntukkan HANYA penghantar (sender) sahaja boleh membuat tuntutan atau wakil penghantar yang diberikan kuasa oleh penghantar secara bertulis.

Jadi kalau kalian adalah penerima, dapatkan pengesahan bertulis dari penghantar untuk memulakan tuntutan bagi pihak penghantar.

4. Perlu isi borang tuntutan ganti rugi, bukti bayaran melalui penyata bank, resit penghantaran, salinan kad pengenalan atau SSM (kalau syarikat) dan lain-lain, nanti semak semula dengan J&T dokumen lain yang diperlukan.

5. Sediakan juga gambar-gambar kerosakan. J&T bakal menilai kerana berdasarkan terma, adalah menjadi tanggungjawab penghantar membuat bungkusan sewajarnya.

Maksudnya kalau barang mudah pecah perlu balut elok-elok dan jenis serta berat barangan perlu isytihar betul-betul.

Jika penghantar gagal mematuhi syarat ini, secara asasnya kalau barangan rosak, ianya bukanlah kesalahan J&T dan penghantar perlu menanggung kos dan kerugian akibat barangan rosak.


Jadi gambar membuktikan bahawa barang itu dibungkus elok adalah sangat penting. Tangkap gambar bukti kotak, bubble wrap dan bukti barang pecah dari dalam kotak lagi dan dipercayai sebab kecuaian.

6. Jumlah tuntutan adalah terhad, bukanlah boleh tuntut mengikut kehendak tetapi berdasarkan syarat dan termanya.

Menurut Nor Zabetha, jumlah ganti rugi itu akan dinilai mengikut tahap kerosakan dan juga jumlah kerugian maksima telah pun ditetapkan.

Misalnya bagi barang yang hilang atau rosak yang beratnya kurang dari 2kg yang dihantar secara domestik (dalam negeri), jumlah yang boleh dituntut adalah berdasarkan harga kerosakan atau kehilangan atau maksimum RM100 sahaja atau mana-mana yang lebih rendah.

Contoh, harga mainan kereta control yang dibeli dan dihantarkan adalah RM130.00. Kerosakannya adalah pada bahagian tayar yang terpatah. Dinilaikan sebanyak RM20 sahaja. Jadi tuntutan hanya RM20 sahaja.

Situasi lain, sekiranya kereta control ini hilang walaupun harga RM130, namun jumlah yang boleh dituntut hanyalah RM100 sahaja. Itu sahaja nilai maksimum berdasarkan terma.

Harganya berbeza, kalau domestik yang lebih 2.01kg, maksimum boleh tuntut RM300. Manakala barangan dari luar negara, maksimum RM400 tetapi ganti rugi akan diberikan kepada jumlah terpaling rendah berdasarkan siasatan dan semakan J&T.

Seperti mana kita mematuhi terma dan syarat penghantaran. Begitu juga mereka. Jika mereka telah mengingkari, maka kita boleh mengemukakan saman kerana perbuatan mengingkari terma sehingga menyebabkan kita hilang ribuan ringgit.

Namun, jika syarikat perkhidmatan kurier tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut, pengguna boleh melakukan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia untuk setiap kerosakan dan kehilangan barang.

Untuk makluman pengguna, setakat ini aduan boleh dilakukan menerusi secara atas talian sahaja iaitu pada laman e-Tribunal – ini disebabkan pelaksanaan PKP, kaunter pertanyaan secara fizikal telah ditutup sehingga 18 Februari kelak.

Bagi sebarang aduan, pengguna boleh layari pada pautan ini.