Keluarga Tiada Cap Jari

Kesulitan Sebuah Keluarga Di Bangladesh Ini Tiada Cap Jari Sejak Empat Generasi

Sebuah Keluarga Di Bangladesh Ini Tiada Cap Jari Sejak Empat Generasi.

Setiap manusia diciptakan dengan keistimewaan masing-masing yang tidak sama. Dalam hal ini, penciptaan cap jari membawa maksud sungguh istimewa.

Setiap insan yang bergelar manusia pasti memiliki satu set cap jari yang tidak sama. Bayangkan berapa banyak manusia sejak zaman Nabi Adam hinggalah kini, semua mempunyai cap jari yang berbeza.

Selari dengan teknologi semasa, cap jari digunakan sebagai satu bukti pengenalan diri yang penting kepada seseorang individu.

Dengan perbezaan yang dimiliki, setiap individu menerima satu bentuk identiti yang eksklusif buat pemiliknya.

Namun, lain pula dengan apa yang berlaku kepada sebuah keluarga di Rajshahi, Bangladesh yang mengalami pelbagai kesukaran akibat tidak memiliki cap jari.

BACA: Cap Jari Rosak, Apa Nak Buat?

Lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), terdapat sebuah keluarga di Bangladesh yang tidak mempunyai cap jari kerana menghidapi sejenis penyakit genetik.

Lebih menghairankan, hanya golongan lelaki dalam keluarga tersebut yang mengalami masalah itu.

Keluarga Tiada Cap Jari

Masalah yang dihadapi keluarga tersebut merupakan mutasi genetik yang hanya berlaku kepada segelintir keluarga di dunia dan menyebabkan mereka tidak mempunyai cap jari.

Menurut salah seorang ahli keluarga berkenaan, Apu Sarker, 22, sejak zaman datuknya, tidak mempunyai cap jari bukanlah masalah besar kerana ketika itu penggunaan cap jari sebagai pengenalan diri tidak begitu meluas.

Namun, peredaran zaman telah mendatangkan masalah kepada kaum lelaki dalam keluarga Sarker sejak empat generasi.

Pada 2008, ketika Apu masih kecil, Bangladesh memperkenalkan kad pengenalan nasional untuk semua orang dewasa dan pangkalan data memerlukan cap ibu jari.

Petugas kerajaan tidak tahu bagaimana mengeluarkan kad pengenalan kepada bapa Apu, Amal Sarker. Akhirnya, dia me­nerima kad yang tertera ayat ‘Tiada Cap Jari’.

Pada 2010, cap jari menjadi wajib bagi pasport dan lesen memandu. Setelah beberapa kali mencuba, Amal berjaya mendapatkan pasport dengan menunjukkan sijil perubatan.

Dia tidak pernah menggunakan pasport itu kerana takut berdepan masalah semasa di lapangan terbang.

Walaupun menunggang motosikal penting untuk kerjanya sebagai petani, Amal tidak pernah memperoleh lesen memandu.

“Saya membayar yuran, lulus ujian, tetapi mereka tidak mengeluarkan lesen kerana saya tidak dapat memberikan cap jari,” katanya.

Amal membawa resit pembayaran yuran lesen bersamanya tetapi ia tidak selalu membantunya apabila ditahan polis, malah pernah disaman dua kali.

Dia perlu menjelaskan ke­adaannya kepada anggota polis yang keliru dan meskipun jarinya diteliti, dia tetap disaman.

Pada 2016, kerajaan mewajibkan data cap jari dimasukkan ke pangkalan data nasional untuk tujuan membeli kad sim telefon bimbit.

“Mereka keliru ketika saya membeli kad sim dan komputer tiada data setiap kali saya mele­takkan jari pada sensor,” kata Apu pula.

Permohonan Apu untuk membeli kad sim ditolak dan anggota keluarganya menggunakan kad sim atas nama ibunya.

Kes yang berlaku kepada keluarga Sarker itu dikenali sebagai Adermatoglyphia. Bayangkanlah kesukaran demi kesukaran yang dihadapi mereka hanya kerana ketiadaan cap jari.

Sumber: Life Beyond Numbers