lupin

Kenapa Wajib Tonton Siri Original Netflix, Lupin

Siri original Netflix yang baru sahaja ditayangkan baru-baru ini, Lupin telah berjaya ditonton oleh lebih 70 juta isi rumah seluruh dunia. Siri ini berjaya memecahkan rekod siri bualan ramai sebelum ini, The Queen’s Gambit yang mendapat tontonan sebanyak 62 juta.

Cerita ini diinspirasikan oleh watak dalam novel Arsène Lupin, karya Maurice LeBlanc. Siri ini dibintangi oleh Omar Sy yang melakonkan watak sebagai Assane Diop seorang warganegara Perancis-Senegal yang tinggal di kejiranan kota Paris.

Arsène Lupin dalam karya novel merupakan seorang pencuri yang amat licik dan penuh strategi. Gaya pencurian yang dilakukan mirip seperti Robin Hood, iaitu hanya mencuri daripada mereka yang berkemampuan dan merasakan mangsa itu tidak layak memiliki barang yang ingin dicuri itu. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan pakar dalam penyamaran serta pertarungan.

lupin

Assane Diop (Omar Sy) mendapat inspirasi untuk menjadi seperti Lupin kerana ingin menuntut balas terhadap kematian ayahnya yang dituduh melakukan jenayah yang tidak dilakukannya. Walaupun membawa dendam bersamanya selama 25 tahun, Assane mempunyai pasangan hidup, Claire (Ludivine Sagnier) dan seorang anak, Raoul (Etan Simon). Tidak digambarkan dengan jelas, namun terdapat babak menunjukkan Assane kerap mencuri bagi menyara keluarganya.

Siri pertama Lupin ini mengandungi 5 episod. Daripada episod pertama lagi anda akan dipertontonkan dengar ciri licik Assane melakukan rompakan persis Lupin. Disebabkan sambutan yang amat menggalakan oleh penonton, Netflix memaklumkan siri kedua Lupin bakal ditayangkan akhir tahun ini.

Buat anda yang gemarkan cerita aksi antagonis seperti Money Heist, ini mungkin siri hebat yang patut anda tonton.

Sebut tentang Money Heist, siri popular yang sudah masuk siri keempat kini dikhabarkan akan diadaptasi kepada versi Korea. Menurut sumber, persiapan sudah pun dibuat dan perbincangan bersama Netflix sudah dilakukan.