Produk Jerawat Tular Gara-Gara TikTok

Gara-Gara Video TikTok, Jualan Krim Jerawat Ini Semakin Melonjak

Gara-Gara Video TikTok, Jualan Krim Jerawat Ini Semakin Melonjak.

Sejak 1 Ogos 2020, kita telah diwajibkan oleh kerajaan untuk memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam untuk mengelak penularan wabak COVID-19.

Namun, bagi yang mempunyai kulit sensitif, ia juga boleh menimbulkan sedikit masalah.

Seperkara yang kurang selesa apabila ramai yang merungut wajah ditumbuhi jerawat ekoran memakai pelitup muka dalam tempoh masa yang lama.

Keadaan ini dipanggil maskne (mask + acne). Ia terjadi pada bahagian pipi, hidung dan dagu iaitu kawasan tertutup apabila memakai pelitup muka.

Walaupun separuh muka sentiasa tertutup dan tidak dapat dilihat orang sekeliling, namun sifat manusia lebih-lebih lagi wanita tetap ingin wajahnya sentiasa kelihatan bersih dan bebas jerawat.

Sejak ramai mula menyebarkan kesedaran tentang penjagaan kulit disebabkan memakai pelitup muka, ramai juga tercari-cari produk penjagaan kulit yang terbaik.

Salah satu produk yang kembali meningkat belakangan ini ialah produk krim kulit Nixoderm iaitu krim penghapus jerawat yang semakin popular dalam kalangan pengguna Malaysia.

Ia berikutan daripada video-video tular di aplikasi TikTok yang meningkatkan kembali permintaan terhadap produk itu tatkala situasi perniagaan yang tertekan ketika era pandemik ketika ini.

Nisolab, yang memiliki hak pelesenan produk Nixoderm di Malaysia dan Singapura menyedari jualan krim jerawat itu meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus di platform peruncit pada Disember. Malah, pertumbuhan jualan di laman e-dagang Shopee juga meningkat berganda.

Produk Jerawat Tular Gara-Gara TikTok

TikTok lariskan jualan

“Pada mulanya kami tidak mengetahui mengapa jualan melonjak secara tiba-tiba, tahu-tahu sajalah.. ekonomi tidak begitu baik (pada masa ini).

“Untuk beberapa waktu, jualan kurang memberangsangkan. Tetapi secara tiba-tiba, jualan meningkat – sesuatu yang tidak normal.

“Jadi saya mula bertanya kepada pengedar saya, ‘bolehkan anda tolong tengokkan? kerana biasanya orang daripada zaman saya tidak melihat TikTok dan sebagainya,” kata Pengarah Urusan Prima Group, Tan Sri M. Ariffin Yusuf.

Apabila diselidiki, jualan produk Nixoderm meningkat adalah gara-gara beberapa video tular di aplikasi video sosial itu.

Trend itu bermula dengan satu video yang dihasilkan oleh Amir Aqram Azizi di akaun TikTok miliknya @thedancedoc pada 16 Dis tahun lepas, menjelaskan bagaimana untuk menggunakan krim Nixoderm untuk menghapuskan jerawat. Video tersebut mendapat lebih 208,100 tontonan dengan hampir 14,000 butang suka.

Produk Jerawat Tular Gara-Gara TikTok

Video-video lain menyusul kemudiannya, mendapat lebih setengah juta tontonan dan hampir 48,000 butang suka, menceritakan tentang bagaimana cara-cara mendapatkan wajah tanpa cela.

Dalam hal ini, Nixoderm telah secara tidak sengaja mencapai matlamat utama pemasaran media sosial, mempunyai produk menjadi tular.

Gara-gara video tular itu juga, Nisolab ingin menjejaki mereka untuk memberi sedikit ganjaran barangan percuma.

Menurut Dr Suhaimee Saahar, pensyarah pemasaran digital dan media sosial di UiTM, syarikat perniagaan sepatutnya memasukkan aplikasi TikTok ke dalam kempen pemasaran digital mereka selain yang biasa seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Jika anda mahu menarik perhatian generasi lebih muda, TikTok perlu menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran anda.”

Jadi, bagi mereka yang ingin mengembangkan lagi perniagaan, bolehlah memasuki dunia TikTok pula!

BACA: Bagaimana Remaja 16 Tahun Ini Jana Pendapatan Lebih RM16 Juta Dengan TikTok