
‘Crazy Awesome Teachers’ Papar Sisi Guru Mata Duitan Dalam Genre Komedi
Menjelang 2020, sudah semakin banyak filem mengenai profesion perguruan dihidangkan kepada masyarakat.
Tidak kiralah dari negara mana sekalipun, filem-filem yang bercerita mengenai pengalaman dan pengorbanan bergelar pendidik pastinya mendapat tempat tersendiri dalam kalangan masyarakat.
Yang terbaharu di Netflix, filem dari Indonesia yang merupakan naskhah Sammaria Simanjuntak mencuri perhatian netizen kerana jalan ceritanya yang menarik dan berbeza daripada lain.
Crazy Awesome Teachers (tajuk dalam Indonesia: Guru-Guru Bokil) mengisahkan mengenai Taat (lakonan Gading Marten) yang percaya bahawa memiliki duit yang banyak adalah satu kejayaan, Taat telah berhijrah keluar dari kampung dan meninggalkan ayahnya seorang diri yang bekerja sebagai seorang guru di sana.
Namun, hidup luar dari kampung tidak seindah yang disangka. Taat sering menemui kegagalan sehingga pernah bergelar gelandangan. Akhirnya selepas bertahun hilang tanpa berita, Taat sehelai sepinggang pulang ke kampungnya semula.

Menjadi guru bukanlah impiannya malah beliau amat bencikan guru. Namun kerana terpaksa demi wang, Taat mengetepikan semuanya dan memohon di sekolah yang sama beliau belajar dan diajar ayahnya.
Namun tragedi bermula apabila duit gaji para guru di sekolah dicuri menyebabkan kesemua guru terpaksa memikirkan cara lain untuk mereka meneruskan kehidupan.

Satu demi satu cerita setiap guru dikupas menyebabkan pandangan Taat pada kekayaan wang ringgit dan kejayaan berubah.
Daripada hanya menjadi guru semata untuk mendapatkan wang, Taat mula berubah. Malah konflik antara beliau dengan bapanya yang bermula sejak dari beliau remaja juga terungkai disebabkan insiden ini.
Walaupun jalan cerita Crazy Awesome Teachers ini biasa-biasa sahaja ianya tetap tidak menjadi halangan untuk penonton merasa terhibur dengan mesej yang ingin disampaikan dengan cara yang mudah difahami dan menarik.
Filem Crazy Awesome Teachers kini sudah boleh ditonton di Netflix.
Tonton trailer Crazy Awesome Teachers di pautan bawah:
Tahun lepas, filem dengan tema sama iaitu Raatchasi dan filem ‘Super 30’ menjadi tular dan trending di Malaysia.
Trending now



