the midnight sky

The Midnight Sky, Cubaan George Clooney Membawa Elemen Plot Twist Yang Menarik

The Midnight Sky adalah filem sains fiksyen arahan George Clooney, berdasarkan novel pada tahun 2016 ‘Good Morning, Midnight’ oleh Lily Brooks-Dalton.

Filem ini dibintangi sendiri oleh George Clooney sebagai seorang saintis yang mempunyai misi penting untuk menjelajah Bulatan Artik dengan seorang gadis muda untuk memberi amaran kepada kapal angkasa yang akan kembali ke Bumi berikutan malapetaka global yang melanda dunia.

Sinopsis

Augustine Lofthouse (George Clooney) adalah seorang saintis yang bercita-cita tinggi untuk berusaha mencari planet yang dapat dihuni oleh manusia dan dapat terus berkembang.

the midnight sky

Pada tahun 2049, satu peristiwa bencana maha alam telah menghancurkan sebahagian besar Bumi, membunuh hampir kesemua penduduk dengan radiasi yang amat kuat.

Dua minggu selepas kejadian tersebut, Augustine, yang sedang bekerja di Kutub Utara, tidak mahu meninggalkan pangkalannya, kerana mengetahui bahawa dia tidak boleh hidup kerana penyakitnya yang serius dan memerlukan rawatan dialisis.

Bersendirian, dia cuba menghubungi mana-mana misi kapal angkasa pada tahun itu dengan harapan dapat memberi amaran kepada mereka tentang keadaan di Bumi tetapi mendapati bahawa hanya satu misi sahaja yang masih aktif.

Kapal angkasa Æther, dalam perjalanan kembali dari Musytari setelah menjelajah bulan K-23 yang dapat dihuni oleh manusia. Kru kapal angkasa ini tidak menyedari kejadian di Bumi. Augustine cuba untuk menghubungi mereka, namun antenna penerimaan komunikasi Bumi dan kapal angkasa Æther terlalu lemah sehingga isyaratnya tidak sampai.

Suatu malam ketika bekerja, Augustine menjumpai seorang gadis muda, Iris di stesen pangkalannya yang tiada keupayaan untuk bercakap. Augustine dan Iris berangkat ke markas lain di Kutub Utara berharap untuk mencari antena yang cukup kuat untuk menghubungi Æther.

the midnight sky

Pasangan itu menghadapi pelbagai cabaran di dalam keadaan sejuk beku melampau yang melanda Bumi.

Apakah yang akan terjadi kepada mereka berdua, serta bagaimanakan nasib kru kapal Æther? Ini anda kena tonton sendirilah. Jom lihat trailer The Midnight Sky ini.

Review The Midnight Sky

Filem ini membawa tema yang agak berat di mana bagaimana perasaan manusia ketika berada pada waktu hujung dunia ataupun kiamat. Ditinggalkan sendirian tanpa ada sesiapa di sini, sambil menderita sakit kronik, pasti memberi keinsafan kepada diri seorang manusia itu.

Walaupun begitu, cerita ini juga memberi kesedaran kepada penonton apabila seseorang itu mempunyai inisiatif untuk mengubah kembali kesilapan lampaunya serta memperbaiki masa hadapan bagi orang lain.

Terdapat sedikit plot twist di penghujung cerita ini di mana anda perlu peka apa yang berlaku kepada Augustine.

Keseluruhannya, jalan cerita yang disampaikan agak menarik, ala-ala filem ‘2012’, ‘Armageddon’, ‘Geostorm’ dan seangkatan dengan tema penghujung dunia. Cuma elemen yang dibawa oleh cerita ini lebih sedikit futuristik serta mampu membawa penonton ke arah pemikiran yang lebih maju.

Dah tonton The Call? Jika belum, jom ikutinya di sini.