7 Sekeluarga Peluk Islam Depan Ebit Lew

‘Nak Jadi Macam Ustaz’ – Tujuh Sekeluarga Peluk Islam Depan Ebit Lew

Tujuh Sekeluarga Peluk Islam Depan Ebit Lew.

Alhamdulillah, bertambah lagi kaum Muslim di dunia ini.

Daripada golongan kanak-kanak hinggalah ke warga emas, tidak kira bangsa dan agama, ramai yang mengenali Ustaz Ebit Lew yang giat menjalankan aktiviti dakwah menerusi kerja-kerja kebajikan.

Maka, tidak hairanlah pendakwah dan sukarelawan ini mendapat anugerah khas yang mana baru-baru ini dipilih sebagai penerima Anugerah Wira AME2020 (Anugerah MeleTOP).

BACA: Ebit Lew: Adiwira Malaysia Tanpa Uniform

Atas keperibadian beliau yang tidak lokek membantu golongan memerlukan, Ebit Lew sekali lagi menarik perhatian orang ramai apabila membantu tujuh sekeluarga berbangsa Cina memeluk Islam.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, Ustaz Ebit memaklumkan peristiwa itu berlaku ketika dia berkunjung ke sebuah gerai buah-buahan yang terletak di Medan Gopeng, Ipoh.

Setiap hari ibu dan anak keluarga itu melihat video pendakwah terbabit di Facebook.

“Rupanya setiap hari mak dan anak ini melihat video saya di Facebook. Selalu menangis tengok orang susah. Hati mereka teringin sangat hendak masuk Islam.

“Anaknya semua ingin jadi jutawan boleh bantu ramai orang. Anak 11 tahun kata, ‘ustaz beri saya nasihat, saya hendak jadi macam ustaz. Hendak jadi hero’.

7 Sekeluarga Peluk Islam Depan Ebit Lew
Sumber: Facebook

“Saya kagum melihat kerajinan mak dan ayah. Anaknya semua rajin. Yang 11 tahun dan 7 tahun semua pandai kira,” katanya.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Ebit membantu mereka yang berminat untuk memeluk Islam selepas tertarik dengan kerja kebajikan yang dilakukan.

Ebit juga hari ini tidak melepaskan peluang memenuhi permintaan keluarga ini yang mahu memiliki basikal.

“Anak ini rajin tengah kumpul duit beli basikal. Saya hadiahkan semuanya basikal. Gembira jumpa keluarga yang sangat baik ini.

“Doakan perniagaan buah abang dengan kakak ini maju dan berkat. Jemput siapa hendak beli buah. Borong dekat abang dan kakak ini.

“Semoga kaya raya dunia akhirat,” katanya.

7 Sekeluarga Peluk Islam Depan Ebit Lew
Sumber: Facebook

Sehingga kini hantaran Ustaz Ebit meraih 6,900 perkongsian selain dibanjiri ribuan komen netizen yang turut sama gembira di atas penghijrahan keluarga berkenaan.

Sumber: FB Ebit Lew