Dipenjara 20 Tahun Atas Kesalahan Yang Tak Dilakukan

20 Tahun Dipenjara, Akhirnya Dibebaskan Atas Kesalahan Yang Tidak Pernah Dilakukan

Menjadi tahanan di sebalik pintu sel bukanlah sesuatu perkara yang diinginkan.

Berada di dalam penjara menyekat seseorang daripada merasa kebebasan dunia luar. Tidak semua banduan yang datang ke penjara secara rela.

Mereka adalah pesalah yang dikehendaki pihak berkuasa yang telah melakukan kesalahan undang-undang negara terbabit dan harus dihukum mengikut hukuman yang dikenakan.

Bagaimanapun, berbeza bagi seorang lelaki Korea Selatan terpaksa meringkuk selama 20 tahun dalam penjara atas tuduhan rogol dan bunuh yang tidak pernah dilakukannya.

Yoon Seong-yeo, 53, dibuktikan tidak bersalah selepas penjenayah sebenar iaitu seorang pembunuh bersiri yang terkenal di Korea Selatan mengaku merogol dan membunuh gadis berusia 13 tahun, pada 1988.

Dia yang dihukum penjara seumur hidup dibebaskan dengan parol pada 2009 selepas menjalani hukuman penjara.

Hakim minta maaf

Hakim Mahkamah Daerah Suwon, Park Jeong-je meminta maaf kepada Seong-yeo bagi pihak badan kehakiman kerana menyebabkan ‘kesakitan fizikal yang mental yang sangat besar’ akibat membuat keputusan yang salah dalam kes terbabit.

“Tertuduh tidak bersalah,” umum Park dan pembebasan Seong-yeo disambut tepukan gemuruh daripada penyokongnya di galeri.

Mahkamah juga mendedahkan bahawa Yoon telah diseksa oleh polis dan mereka gagal menyiasat.

Selama 20 tahun dia menjalani hukuman yang bukan kesalahannya, tuduhan jenayah yang belum berjaya dibuktikan.

Hakim mengatakan bahawa selama penahana Yoon, polis telah menggunakan unsur penyeksaan, termasuk membuatnya kurang tidur dan menahannya secara haram.

Semua itu dilakukan supaya Yoon membuat pengakuan palsu.

“Saya harap tiada sesiapa yang perlu melalui apa yang saya lalui dan semua kes menerima perbicaraan yang adil,” kata Yoon kepada pemberita selepas keputusan itu.

Dipenjara 20 Tahun Atas Kesalahan Yang Tak Dilakukan

Ditangkap pada usia 22 tahun

Seong-yeo, yang ketika itu berusia 22 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah rumah ladang di Hwaseong, ditahan pada Julai 1989 selepas polis menuduhnya merogol dan membunuh seorang gadis pada September 1988.

Pada tahun 1986 hingga 1991, 10 wanita pelbagai peringkat usia dirogol serta dibunuh dengan kejam di kawasan Hwaseong dan Seong-yeo ditahan selepas polis dikritik hebat kerana gagal mengenal pasti pembunuh bersiri itu.

Polis membuat kesimpulan Seong-yeo meniru siri jenayah yang berlaku walaupun dia menafikannya dan menyatakan bahawa penyiasat polis memaksanya untuk mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Oktober 1989, yang kemudian disahkan Mahkamah Agung pada Mei 1990.

Pembunuh sebenar tampil buat pengakuan

Ketika siri kes pembunuhan Hwaseong dilihat tidak berkesudahan, tahun lalu pihak polis mengumumkan ada suspek lain yang membuat pengakuan.

Lee Chun-jae, seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh kakak iparnya pada 1994, mengaku melakukan pembunuhan termasuk gadis berusia 13 tahun itu, mendorong Seong-yeo memfailkan perbicaraan semula.

Dipenjara 20 Tahun Atas Kesalahan Yang Tak Dilakukan
Pembunuh sebenar

Chun-jae turut memberi keterangan pada perbicaraan semula Seong-yeo bulan lalu dan mengulangi pengakuannya.

Filem ‘Memories of Murder’ pada 2003 merupakan ilham kepada kes pembunuhan di Hwaseong yang diarahkan oleh pengarah terkenal Korea Selatan, Bong Joon Ho, yang memenangi filem terbaik Anugerah Akademi 2020 bagi filem ‘Parasite’.

Sumber: BH, Kompas

BACA: Dipenjara Tiga Tahun Sebab Derma RM200, Lelaki Ini ‘Terpaksa’ Mengaku Bersalah