
Realiti Agihan Lebihan Lauk Kenduri Ke Maahad Tahfiz, Satu Penganiayaan Tanpa Sedar
Kini seakan menjadi trend, lebihan makanan lauk pauk kenduri akan dibungkus dan diedarkan ke pusat-pusat tahfiz. Walaupun diniatkan dengan sedekah, adakalanya makanan yang diberikan sudah pun basi dan busuk, namun kononnya tidak mahu membazir dan tidak mahu dibuang, ada tuan rumah tetap mengedarkannya ke sana.
BACA: Umpat Lauk Kenduri Habis, Tanpa Sedar Kita Salahkan Rezeki Tuhan
Menurut satu perkongsian daripada Facebook Kelab Pengajian Al-Quran, seorang mudir tahfiz meluahkan mengenai hal ini.
Seringkali menolak lauk lebihan kenduri apabila dihantar ke madrasah dengan alasan tidak mahu membazir, ramai yang tersalah anggap pihak pengurusan tahfiz sombong.
Namun hakikatnya, semasa dihantar lauk berkenaan sudah pun separuh basi. Lebih malang lagi apabila pelajar terpaksa bermalam bertemankan bau masam dan busuk daripada lauk-lauk yang basi tersebut.
Bukan itu sahaja, pada awal pagi pula mereka terpaksa membersihkan masalah yang ditinggalkan pihak tuan rumah. Hampir tiap-tiap minggu, begitulah rutinnya apabila ‘sedekah’ dipaksa untuk diterima.
Sering saya katakan kalau sayangkan pelajar tahfiz atau betul-betul ingin berkongsi makanan dengan kami, hantarlah pada waktu tengah hari ketika lauk pauk masih panas dan menyelerakan. Kalau sibuk kami boleh datang ambil. Tapi kalau takut makanan tak cukup, tak perlu risaukan kami. Di madrasah pun setiap hari kami masak.
Alhamdulillah anak-anak tahfiz sentiasa cukup makan. Kadang-kadang ada juga orang yang upah katering dua tiga malam berturut-turut untuk jamu anak-anak syurga ini. Tak kurang juga yang sering hantar beras, minyak, telur, ayam, kambing dan macam bahan mentah untuk kegunaan dapur madrasah. Alhamdulillah ahli-ahli Quran sentiasa dijaga rezeki mereka oleh Allah. Oleh sebab itulah kami selalu mengelak lauk lebihan kenduri.
Apa pun saya ucapkan terima kasih kerana tuan rumah masih lagi ingat kami. Walaupun di hujung-hujung hari. Kami juga ucap terima kasih sebab bersusah-payah hantarkan lauk-pauk walaupun setelah penat seharian melayan tetamu. Terima kasih sebab tak lupakan kami. Kami sentiasa doakan agar tuan-tuan dimurahkan rezeki dan diberkati. Bagi pengantin moga berbahagia hingga ke akhir hayat. Amin.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan saling memberi adalah satu amalan mulia yang digalakkan oleh Islam, namun janganlah sengaja mendermakan sesuatu yang rendah kualiti, buruk atau tidak baik.
Allah SWT pernah berfirman dalam Surah al-Imran, ayat 92:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.”
Daripada memberi lebihan lauk kenduri kepada pusat tahfiz ada baiknya tuan rumah terus menjemput golongan ini ke majlis. Di samping bersedekah, tuan rumah boleh meminta untuk anak-anak tahfiz ini mendoakan mereka.
Atau pun sebelum memberi, pastikan dahulu ianya masih elok supaya tidak memberi mudarat kepada penerima kerana mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada orang lain adalah satu perkara yang haram dan dilarang syarat.
Masyarakat perlu faham, pusat tahfiz bukannya satu tempat ‘buangan’ barangan yang tidak lagi anda kehendaki sebaliknya satu tempat yang perlu diraikan dan dihormati penghuninya.
Trending now



