Berita Palsu Anak Derhaka Malaysia

5 Berita Palsu Yang Pernah Fenomena Satu Malaysia Dan Kisah Sebenarnya

Jika waktu kecil anda pada awal tahun 2000-an, pasti ingatan anda masih segar dengan kisah anak derhaka yang akhirnya disumpah menjadi makhluk menyeramkan.

Dahulu, kisah-kisah ini amat popular walaupun pada waktu itu media sosial belum dijadikan medan komunikasi seperti hari ini.

Berita-berita ini terbukti memberi kesan kepada golongan kanak-kanak sehingga ketakutan setelah mendengar ataupun menonton kisah anak derhaka itu.

Namun, ternyata kisah-kisah anak derhaka yang pernah menjadi fenomena seluruh Malaysia ini hanyalah rekaan semata.

Pernahkah anda terbaca kisah anak yang disumpah menjadi ‘anjing berbadan manusia’ kerana derhaka pada ibunya?

Tentu saja anda pernah terbaca dan mempercayainya bukan? Ya, itu semua palsu.

Berikut antara berita palsu yang pernah membuat ramai tertipu.

1. Anak derhaka disumpah menjadi anjing

Berita Palsu Anak Derhaka Malaysia

Cerita ini berlegar dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dalam tahun 2000 ke atas. Tersebar gambar ‘anjing berbadan manusia’, kononnya seorang anak menjadi mangsa sumpahan ibunya.

Menurut cerita berkenaan, anak itu bukan sahaja biadab malah menendang ibunya yang sedang membaca Al-Quran lalu disumpah menjadi anjing.

Cerita itu tersebar begitu meluas, memberi pengajaran kepada anak-anak supaya menghormati ibu bapa mereka namun yang sebenarnya, gambar itu bukanlah anak yang disumpah sebaliknya hanyalah arca dihasilkan Patricia Piccinini.

Artis berusia 55 tahun dari Australia itu gemar menghasilkan arca berbentuk pelik sebegitu dan tidak menyangka salah satu arcanya menjadi begitu popular kerana cerita palsu sebegitu.

Patricia telah menghasilkan lebih daripada 40 arca dan antara yang popular adalah The Young Family. Setiap hasil tangannya dijual dengan harga yang agak tinggi.

2. Lahirnya dajal, bayi bermata satu

Berita Palsu Anak Derhaka Malaysia

Kisah ini juga dengan pantas tersebar dalam kalangan masyarakat. Ada yang panik, menyangkakan dajal benar-benar sudah lahir dan itu petanda dunia sydah semakin menghampiri kiamat.

Gambar bayi bermata satu disebarkan secara meluas dan dengan capaian internet tidaklah begitu luas pada waktu itu, ramai tertipu dan mempercayainya bulat-bulat.

Sebenarnya itu bukanlah dajal tetapi satu fenomena yang jarang berlaku melibatkan bayi baru lahir digelar ‘cyclopia’.

Cyclopia adalah kecacatan semasa lahir yang jarang berlaku apabila bahagian depan otak tidak membelah belahan kanan dan kiri. Gejala paling jelas adalah mata tunggal atau mata yang terbahagi separa.

3. Kepala manusia, badan haiwan

Berita Palsu Anak Derhaka Malaysia

Pelbagai versi disebarkan dalam kisah ini namun tidak lari daripada sumpahan kepada anak kerana derhaka kepada ibunya.

Ternyata video tersebut menghadirkan gerun kepada yang menontonnya kerana kepala ‘haiwan’ itu bergerak-gerak ketika dirakam.

Fakta sebenarnya, ia hanyalah gimik lakonan dilakukan penghibur di Pakistan yang kini diteruskan legasinya menerusi Mumtaz Begum, penghibur yang menonjolkan gimik manusia berbadan haiwan.

4. Anak derhaka disumpah menjadi ikan

Berita Palsu Anak Derhaka Malaysia

Satu lagi kisah yang hampir serupa, kisah seorang anak yang derhaka kepada ibunya dan kali ini disumpah menjadi ikan.

Pasti anda pernah melihat video tersebut yang menunjukkan beberapa bahagian ikan tersebut yang secara kebetulan agak hampir dengan tubuh manusia.

Dari video tersebut yang lazimnya dilatari bacaan ayat Al-Quran, jelas kelihatan bentuk mata, mulut dan seakan-akan tulang rusuk pada ikan berkenaan.

Namun, ia bukanlah anak yang disumpah menjadi ikan sebaliknya ‘guitar fish’, sejenis ikan dalam keluarga ikan pari, Rhinobatidae.

Ikan itu terkenal dengan badan yang memanjang dengan kepala dan batang yang rata dan sirip seperti ikan pari kecil. Rangkaian gabungan pelbagai spesies ikan itu boleh ditemui di perairan tropika, subtropika dan beriklim hangat di seluruh dunia.

5. Pokeman bermaksud ‘Aku sayang Yahudi’

Berita Palsu Anak Derhaka Malaysia

Pokemon merupakan siri kartun popular yang mula ditayangkan di Jepun pada tahun 1997.

Antara watak paling popular dalam kartun itu adalah Pikachu, haiwan comel berwarna kuning yang mampu mengeluarkan arus elektrik.

Tersebar kisah mendakwa maksud ‘Pokemon’ jika diterjemahkan dari bahasa Hebrew adalah ‘Aku sayang/suka Yahudi’.

Nintendo yang mengeluarkan permainan video Pokemon menafikan khabar angin itu dan menjelaskan nama itu adalah singkatan kepada ‘Pocket’ dan ‘Monster’.

Haiwan Pokemon boleh ditangkap menggunakan ‘Poke Ball’ yang boleh dimasukkan dalam poket. Begitu juga dakwaan tidak benar mengatakan maksud ‘Pikachu’ adalah ‘Jadilah Yahudi’.

Walaupun sebahagian kisah ini bertujuan memberikan pengajaran namun yang palsu tetaplah palsu.

Sumber: Awani