Ramai Gusar Isu Enam Maut Dalam Ujian Vaksin COVID-19, Pakar Jelaskan Perkara Sebenar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kita kini telah memasuki fasa yang mana vaksin untuk penyakit COVID-19 bakal diedarkan di seluruh dunia dan ada juga vaksin di beberapa negara sedang menunggu kelulusan.

BACA: ‘Panglima Perang’ Bung Moktar Sahut Saranan Ahli Politik Disuntik Dahulu Vaksin COVID-19

Semalam kecoh di media sosial mengenai vaksin COVID-19 keluaran Pfizer dikatakan telah menyebabkan kematian enam orang sewaktu kajian fasa ketiganya.

Pastinya berita itu membuatkan para anti-vaksin boleh memainkan isu tersebut dalam menyebar kefahaman mereka.

Hal ini mendapat perhatian seorang doktor yang juga penulis Cakar Ayam Seorang Doktor, Dr Fahmi Hassan untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Ramai yang gusar dengan tajuk berita ini. Ya, jika baca sekali lalu, seolah-olah ia menunjukkan yang vaksin tersebut boleh mengakibatkan kematian,” ciapnya.

Berita tersebut menjadi hangat yang mana laporan setebal 53 muka surat yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin keluaran Pfizer.

Dalam laporan itu, enam individu meninggal dunia dalam fasa terakhir ujian klinikal vaksin COVID-19 keluaran Pfizer.

“Sebanyak 38,000 sampel terlibat dalam ujian tersebut. 19,000 menerima vaksin, dan 19,000 lagi menerima placebo.

“Dua kematian berlaku dalam kalangan penerima vaksin, manakala empat lagi dalam kalangan penerima placebo.”

Mengulas lanjut, Dr Fahmi menerangkan placebo adalah bahan tanpa kesan terapeutik yang diberikan kepada satu kumpulan dalam ujikaji – ia mungkin hanyalah air.

vaksin COVID-19

Ini bermaksud, empat kematian dalam kumpulan placebo langsung tidak boleh dikaitkan dengan vaksin yang diuji.

Manakala dua kematian dalam penerima vaksin pula disebabkan oleh serangan jantung 62 hari selepas suntikan dan rteriosclerosis (salur darah tersumbat) tiga hari selepas suntikan yang mana kedua-dua mangsa ini berumur lebih dari 55 tahun.

“Serangan jantung dan saluran darah tersumbat merupakan komplikasi kesihatan yang sering berlaku dengan risiko semakin tinggi mengikut umur.

“Setelah dianalisa, kadar kematian ini didapati sama dengan kadar kematian di dalam populasi normal.

“Jadi, ia bukanlah disebabkan vaksin.”

Jelasnya, dalam menilai kesan sampingan vaksin, terdapat dua terma yang sering digunakan iaitu:

Causal – kesan yang berkaitan vaksin
Temporal relationship – kesan secara kebetulan dan tidak disebabkan vaksin

Maka, dua kematian dalam kes itu hanyalah boleh dikatakan sebagai mempunyai temporal relationship dengan vaksin.

Oleh itu, kadar kematian itu tidak membangkitkan isu keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan memandangkan ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.

Antara kesan sampingan yang direkodkan adalah:

1. Sakit di tempat suntikan
2. Letih
3. Sakit kepala
4. Sakit otot
5. Rasa sejuk menggigil
6. Sakit sendi
7. Demam

Menerusi ujian berkenaan mendapati majoriti mengalami kesan sampingan ringan sahaja.

Dalam pada itu, Dr Fahmi Hassan berharap pihak berwajib Malaysia akan menilai sendiri keselamatan dan keberkesanannya sekali lagi sebelum digunakan kepada umum.

Sumber: Twitter Fahmi Hassan Al Abad