
Kenapa Kita Sering Mendapat Ilham Ketika Sedang Mandi?
Kenapa Kita Sering Mendapat Ilham Ketika Sedang Mandi?
Dalam kehidupan seharian, pernahkah kita terfikir bila masanya kita menjadi seorang yang kritis atau kreatif?
Biasanya, seseorang itu akan menjadi kreatif atau mendapat ilham apabila dia berada dalam situasi kritikal atau terdesak.
Namun, ada kalanya seseorang itu mendapat ilham apabila berada dalam situasi yang tenang misalnya ketika berada dalam bilik mandi.
Ya, sebahagian orang mandi bukan sahaja untuk membersihkan diri, malah waktu itu juga mereka terfikir idea-idea bernas atau mendapat ilham yang mereka tak terlintas di tempat lain.
Kajian daripada seorang ahli psikologi Scott Barry Kaufman mendapati, sekitar 72 peratus manusia biasanya akan mendapat idea bernas ketika sedang mandi.
Kadang kala, gangguan yang sedikit boleh membuatkan sumber kognitif membenarkan imaginasi anda menjadi sedikit liar.
Apabila bahagian otak anda fokus pada stimulasi luar, bahagian otak yang lain terbuka kepada idea dan inspirasi yang lebih meluas.
Apabila otak kita tenang, sensor dalaman kita lemah, lagi sekali membuka ruang untuk lebih pemikiran yang meluas dan idea akan datang mencurah-curah.
Otak manusia dipercayai akan melahirkan idea apabila mengalami salah satu daripada perkara berikut:
1. Penghasilan dopamine di otak. Kadar pelepasan dopamine ini akan meningkat apabila seseorang itu sedang melakukan aktiviti seperti mendengar muzik dan mandi.
2. Berada dalam keadaan tenang. Otak akan dapat berfikir dengan lebih mendalam apabila seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Dalam hal ini, otak manusia yang berada dalam keadaan tenang ketika mandi menjadi punca bagaimana ia mampu melahirkan idea yang kreatif.
Selain itu, persekitaran bilik mandi yang santai juga secara tidak langsung membolehkan minda bergerak dengan bebas tanpa sebarang gangguan.
Bahagian otak yang berfungsi dalam menghasilkan idea-idea kreatif dikenali sebagai prefrontal cortex.
Skop pemikiran akan menjadi kecil apabila seseorang itu sedang berfikir tentang sesuatu perkara kerana otak akan menjadi terlalu fokus dalam mencari penyelesaian atau jawaban terhadap perkara yang difikirkan tadi.
Otak akan berada dalam keadaan tenang apabila anda sedang berehat atau melakukan perkara yang tidak produktif seperti mandi, membolehkan korteks meneroka untuk anda berfikir secara meluas.
Namun, ada kalanya idea yang dapat ketika sedang mandi boleh menjadi sia-sia apabila kita kembali lupa.
Maka, dinasihatkan terus mencatat idea tersebut selepas mandi agar idea tidak hilang begitu sahaja.
Sumber: Buffer, Daily Sihat
Trending now



