Frank Abagnale Penjenayah FBI

Frank Abagnale Jr. – Daripada Individu Paling Dikehendaki Kepada Penasihat FBI

Frank Abagnale Jr. – Daripada Individu Paling Dikehendaki Kepada Penasihat FBI

Jika disebut figura bernama Frank Abagnale Jr, mungkin ramai tidak berapa mengenalinya.

Namun jika berbicara mengenai filem Catch Me If You Can lakonan aktor terkenal Leonardo Dicaprio, pasti anda tahu bukan?

Meneliti sejarah kehidupan Frank William Abagnale Jr, tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah antara penyamar dan penipu paling licik dalam sejarah jenayah dunia.

Watak dalam filem tersebut sebenarnya diinspirasikan daripada kisah sebenar sewaktu Frank Abagnale muda dahulu.

Frank Abagnale Penjenayah FBI

Pada usia mudanya dihabiskan dengan kegiatan penipuan, pemalsuan cek, menyamar sebagai peguam, pensyarah, doktor dan juruterbang.

Penceraian ibu bapa mengubah dirinya

Frank bersama tiga beradiknya membesar di New York. Sewaktu dia berusia 16 tahun, kedua-dua ibu bapanya bercerai.

Penceraian ibu bapanya itu telah menyebabkan perubahan kepada dirinya. Frank mahu menjadi kaya seperti bapanya yang mana bapanya menjadi mangsa pertama penipuannya.

Kad kredit yang diberikan bapanya untuk mengisi minyak telah disalahgunakan untuk berjoli.

Dia menggunakan kad kredit dengan memalsukan resit pembayaran untuk berpesta dan membeli barangan aksesori kereta, kemudian dijual semula bagi mendapatkan wang tunai yang menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit kepada bapanya.

Frank kemudian menipu pula pihak bank dengan memalsukan cek dengan cara membuka akaun baharu di bank lain menggunakan identiti palsu yang direkanya sendiri.

Salah satu cara penipuannya yang paling terkenal ialah dengan menghasilkan nombor cek palsu yang sama seperti nombor cek asli keluaran bank.

Salinan cek itu kemudian didepositkan ke dalam beberapa jenis akaun sebelum mengeluarkan wang daripada akaun tersebut.

Apabila penipuannya disedari oleh bank, Frank beralih pula kepada bidang penyamaran.

Menyamar jadi juruterbang, pensyarah, doktor dan peguam

Bagi kita, penyamaran profesion yang disenaraikan di atas amatlah berisiko tinggi namun tiada satu pun penyamaran yang membuatkannya tertangkap.

Frank menikmati segala kelebihan sepanjang dia menyamar dalam ‘kerjayanya’ itu. Muslihatnya berterusan sehingga dia berusia 18 tahun dan dalam jangka masa dua tahun, Frank telah terbang ke 26 buah negara.

Frank Abagnale Penjenayah FBI

Setelah penyamarannya dihidu, Frank beralih menjadi seorang doktor penyelia yang mana dia hanya mengarahkan doktor pelatih untuk mengendalikan kes.

Namun pembohongannya hampir terbongkar apa dia tidak memahami istilah ‘blue baby’ atau penyakit bayi biru yang diberitahu oleh jururawat hingga menyebabkan hampir meragut nyawa bayi tersebut.

Kemudian dia beralih memilih ‘kerjaya’ peguam pula. Frank hanya menelaah subjek undang-undang selama 7 bulan untuk meluluskan dirinya dalam Ujian Bar yang boleh melayakkan dirinya sebagai peguam.

Bagaimanapun, Frank melarikan diri selepas salah seorang rakan sejawat telah cuba untuk memeriksa latar belakangnya.

Penipuan Frank akhirnya tertangkap

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah dengan Frank apabila pembohongannya terbongkar.

Ketika berusia 21 tahun, Frank diberkas polis sewaktu berada di Perancis setelah dilaporkan oleh kenalan rapatnya.

Frank menjalani beberapa hukuman atas jenayahnya di penjara Perancis selama enam bulan. Tidak tamat di situ, Frank dipenjara selama enam bulan juga atas dakwaan pemalsuan cek di Sweden.

Selepas itu, Frank dihantar pulang ke Amerika Syarikat dan dihukum penjara selama 12 bulan. Tetapi, Frank sempat melarikan diri namun tak lama kerana dia berjaya ditangkap juga.

Frank Abagnale bekerjasama dengan FBI

Akhirnya pada tahun 1974, hukuman penjara Frank dikurangkan dengan syarat bekerjasama dengan FBI dalam membanteras jenayah pemalsuan cek tanpa sebarang gaji.

Nasibnya tidaklah begitu baik selepas dibebaskan. Banyak pekerjaan yang dia cuba lakukan termasuk sebagai penjual sayur namun sukarnya baginya kerana tidak memiliki surat berkelakuan baik.

Kemudian, Frank memohon kerja di bank dengan menunjukkan segala macam trik yang digunakan untuk memalsukan cek. Sejak itu, bermulalah kerjaya Frank sebagai perunding keselamatan kewangan.

Selepas itu, beliau menubuhkan syarikat perunding keselamatan kewangannya sendiri, Abagnale & Associates. Beliau menawarkan khidmat nasihat kepada pelbagai badan organisasi termasuk FBI mengenai masalah penipuan dan cara mencegahnya.

Frank kini hidup bahagia bersama seorang isteri dan tiga orang anak. Salah seorang anaknya dikhabarkan bekerja sebagai anggota FBI.

Sumber: Biography

BACA: Macam Dalam ‘Money Heist’, Perompak Larikan RM31.6 Juta Dari Bilik Kebal Kastam