Kaavan Gajah Paling Sepi Di Dunia

Kaavan, Gajah Paling Sepi Di Dunia Akhirnya Bebas Selepas Bertahun Menderita

Mungkin ramai yang masih belum pernah mendengar tentang kisah seekor gajah yang digelar gajah paling sepi di dunia.

Ia benar dan itulah yang dihadapi seekor gajah di sebuah zoo Pakistan, bernama Kaavan. Nasibnya begitu malang kerana dibiarkan kekurangan zat dalam dalam keadaan tertekan selama 35 tahun di zoo itu.

Selama itu, Kaavan ditugaskan untuk menghiburkan pengunjung zoo di Islamabad. Kaavan sering dikasari oleh pengunjung zoo, malah dia turut dilayan dengan teruk oleh orang yang menjaga dan melatihnya.

Tanpa mempedulikan apa yang dirasakan oleh Kaavan, dia terus dikasari untuk mendapatkan wang bagi pihak zoo.

Kisah Kaavan adalah kisah penuh duka

Seawal usia setahun, Kaavan sudah diserahkan kepada Pakistan oleh kerajaan Sri Lanka sebagai tanda hubungan diplomasi serta untuk menjayakan sebuah filem Bollywood.

Kaavan kemudian dipindahkan ke Zoo Marghuzar yang mana terkenal dengan pelbagai masalah sejak dibuka. Pihak berkuasa dikatakan tidak peduli dengan apa yang berlaku di situ, yang mereka penting adalah keuntungan.

Pada awalnya, kehidupan seharian Kaavan tidaklah begitu sunyi kerana ketika itu dia mempunyai kawan-kawan yang selalu ada dengannya.

Kaavan sering ditemani oleh Saheli, seekor gajah betina yang dibawa masuk dari Bangladesh pada awal 1990-an.

Bagaimanapun, pada tahun 2012 Saheli didapati mati berpunca serangan jantung akibat cuaca yang sangat panas seperti yang dilaporkan.

Kaavan Gajah Paling Sepi Di Dunia

Namun, sukarelawan Friends of Islamabad Zoo (FIZ) menafikan laporan tersebut dan mendakwa Saheli mati akibat sepsis.

Selepas kematian Saheli, keadaan Kaavan semakin merosot. Ia mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kekurangan zat, selain turut mengalami masalah tingkah laku.

Pemeriksaan perubatan pada bulan September menunjukkan kuku Kaavan retak dan terlalu panjang, kesan akibat bertahun-tahun tinggal di kandang yang tidak dijaga dengan baik.

Masalah tingkah laku Kaavan seperti menggelengkan kepalanya berulang kali selama berjam-jam, dan doktor haiwan mengesahkan tabiat itu terhasil akibat kebosanannya.

Kaavan akhirnya bebas

Kaavan Gajah Paling Sepi Di Dunia
Sumber: Today Show

Penyanyi dan pelakon, Cher tampil mengetuai misi menyelamatkan Kaavan pada 2016 dengan memperjuangkan supaya haiwan itu dibawa ke pusat perlindungan.

Perjuangan Cher membuahkan hasil apabila Kaavan akan meninggalkan zoo itu untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Gajah Asia itu ditempatkan di pusat perlindungan hidupan liar di Kemboja.

Manakala Mahkamah Tinggi Pakistan telah mengeluarkan arahan bahawa zoo terbabit ditutup selepas didapati keadaan Kaavan yang menyayat hati dan haiwan-haiwan di situ juga dpindahkan.

Sumber: BBC