
Kunyit Ditukar Dengan Emas Di Pasaran Gelap Sri Lanka
Kunyit, merupakan rempah penting dan biasa digunakan dalam masakan di negara-negara Asia Tenggara.
Jadi, tumbuhan ini ditanam secara meluas di rantau ini sehingga sukar untuk dibayangkan bahawa ia akan muncul di pasaran gelap.
Dihargai dari segi rasa dan kesihatan, kunyit biasa digunakan dalam hidangan dari air rebusan sup hingga kari, dan juga ditambahkan ke dalam minuman seperti teh.
Dipercayai kunyit mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang yang membantu orang meningkatkan daya tahan mereka terhadap penyakit.
Di Sri Lanka, penggunaan kunyit semakin meningkat sejak wabak pandemik COVID-19 melanda termasuklah dalam kalangan pengamal kesihatan, menyebabkan permintaan melambung tinggi, sekali gus membuka peluang kepada penyeludup untuk menyeludup kunyit sebagai produk penjualan baharu yang menguntungkan pada masa bekalan banyak terputus.
Menurut sumber, Sri Lanka menggunakan sekitar 7,500 tan kunyit pada tahun 2019, tetapi negara itu mengusahakan sekitar 2,000 tan, yang mana sebahagian besar bergantung pada import.
Disember lalu, kira-kira sebulan sebelum Sri Lanka mendapat kes pertama COVID-19, kerajaan baharu Presiden Gotabaya Rajapaksha melarang pengimportan pelbagai jenis rempah termasuk kayu manis, halia, buah pala dan kunyit sebagai usaha untuk meningkatkan hasil dalam negera.
Jika dahulu harganya 350 Rupiah Sri Lanka (RM 7.74) sekilogram sebelum wabak, harga kunyit kini naik kepada RM110 sekilogram, menyumbang kenaikan 13 kali ganda. Bagaimanapun, ada yang sanggup menukar 100 kilogram kunyit dengan 1 kilogram emas.
BACA: Covid-19: Sekotak Penutup Mulut Dan Hidung Di Indonesia Dijual Lebih Mahal Dari Harga Emas
Selama beberapa bulan ini, kerajaan Sri Lanka menyita berkarung-karung kunyit seludup. Dipercayai, nelayan tempatan terlibat dalam perdagangan ‘underground’ itu.
Sebelum ini, komoditi berharga tinggi seperti emas, ganja dan timun laut telah diseludup oleh kartel tetapi ini adalah yang pertama untuk barang biasa seperti kunyit.
“Sangat sukar untuk menangkap pelakunya kerana kunyit adalah produk yang biasa digunakan. Jadi, penyeludup mudah memindahkan rempah itu dalam jumlah besar dari kawasan penanaman kunyit ke kawasan pesisiran pantai dengan alasan penggunaan domestik.”
Permintaan yang tinggi ini juga menimbulkan kebimbangan mengenai pemalsuan serbuk kunyit. Bahan seperti tepung beras, tepung gandum bahkan serbuk pewarna kuning yang boleh membahayakan kesihatan dicampurkan dalam serbuk kunyit untuk dijual dengan harga yang lebih rendah.
Sumber: SCMP
Trending now



