Pasangan Saintis Muslim Vaksin COVID-19 Pfizer

Pasangan Saintis Muslim Ini Jadi Jutawan Selepas Hasilkan Vaksin BioNTech Pfizer

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Saintis Muslim Hasilkan Vaksin Pfizer.

Laporan mengenai penghasilan vaksin COVID-19 yang menunjukkan keputusan meyakinkan, memberi harapan kepada dunia yang dilanda lonjakan kes virus itu.

Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan rakan kongsi dari Jerman, BioNTech mengumumkan calon vaksin mereka mencatatkan 90 peratus berkesan mengelak jangkitan COVID-19 ketika ujian fasa tiga.

BACA: Pfizer, BioNTech Dakwa Vaksin COVID-19 Mereka 90% Berkesan

Saintis Muslim Hasilkan Vaksin Pfizer

Tahukah anda siapakah di sebalik pembangunan vaksin yang bakal memberi sinar baharu kepada penduduk dunia?

Mereka merupakan pasangan saintis beragama Islam dari Turki, Ugur Sahin dan Ozlem Tuereci yang menjadi individu di sebalik penghasilan vaksin COVID-19 yang didakwa 90 peratus berkesan untuk menangani jangkitan virus itu.

Ugur Sahin, 55, dan Ozlem Tureci, 53, menghabiskan hampir sepanjang hidup mereka dalam menyumbang kepada bidang penyakit berjangkit dan onkologi.

Pasangan suami isteri ini menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz, Jerman pada 2008. Kini, Ugur dan Ozlem dikenali seluruh dunia kerana hasil titik peluh mereka membangunkan vaksin COVID-19 yang pertama dengan keberkesanan tinggi.

Dilahirkan di Turki dan dibesarkan di Jerman, Ugur berasal dari keluarga pendatang yang bekerja di sebuah kilang Ford. Beliau bergelar seorang doktor dengan kepakaran dalam bidang imunoterapi.

Isterinya, Ozlem adalah Ahli Lembaga Pengarah BioNTech, merupakan anak perempuan seorang doktor Turki dan juga berhijrah ke Jerman.

Mereka sebelum ini pernah menubuhkan syarikat Ganymed Pharmaceuticals pada 2001 untuk membangunkan antibodi yang melawan kanser, kemudian dijual pada nilai AS$1.4 bilion pada 2016.

Pasangan Saintis Muslim Vaksin COVID-19 Pfizer
Sumber: Gulf News

Pasangan yang terkenal dengan sikap merendah diri

Mereka berkongsi dedikasi dan minat dalam bidang mereka – malahan, Tureci menceritakan kepada media bahawa pasangan itu pulang ke makmal untuk meneruskan kerja penyelidikan selepas majlis perkahwinan mereka.

Pasangan ini menjadi jutawan segera pada bulan Jun lalu ketika saham BioNTech melonjak setelah perjanjian perkongsian dengan Pfizer diumumkan.

Lompatan saham lain berlaku setelah data uji cuba meningkatkan kekayaan bersama mereka kepada hampir AS$4 bilion dan menjadikan mereka antara 100 individu paling kaya di Jerman, menurut Reuters.

Yayasan Bill & Melinda Gates melaburkan AS$55 juta dalam syarikat terbabit. Nilai syarikat BioNTech mencapai AS$ 25 bilion minggu lalu – setahun lalu, ia hanya di bawah AS$ 3.4 bilion.

“Di sebalik kejayaannya, dia tidak pernah berubah daripada personalitinya yang rendah diri,” kata Matthias Kromayer, salah seorang ahli lembaga firma MIG AG yang menyokong BioNTech sejak awal penubuhannya.

Walaupun nilai saham BioNTech melonjak, malah pengedaran dan pengeluaran vaksin meningkat, para pelabur memberitahu bahawa mereka tetap fokus pada kemajuan perubatan, bukan wang.

Menurut sumber, setelah memperoleh keputusan ujian yang diinginkan, pasangan itu hanya meraikan dengan menjamu minuman teh Turki.

Sumber: The New York Times, Awani