Logo WHO Guna Simbol Ular Dan Tongkat

Kisah Di Sebalik Logo Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Guna Simbol Ular Dan Tongkat

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kisah di sebalik logo WHO guna simbol ular dan tongkat.

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, beberapa golongan manusia mempercayai propaganda teori konspirasi yang mana virus itu hanyalah rekaan orang-orang atasan untuk mencapai apa yang mereka inginkan.

Sebenarnya, sejak dahulu lagi krisis kesihatan awam dikaitkan dengan teori konspirasi yang bermula dengan wabak Black Death yang melanda Eropah pada tahun 1300-an ketika masyarakat dunia berusaha keras untuk memahami kekacauan yang melanda hidup mereka, sama seperti sekarang.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut terpalit dituduh sengaja menakutkan manusia agar patuh dengan peraturan kesihatan, jika tidak akan berjangkit dengan wabak COVID-19 yang dikatakan sebenarnya tidak wujud.

Mana tidaknya, melihat pada lambang di sebalik logo WHO itu iaitu ular melingkari tongkat menjadikan asbab para ‘penganut’ teori konspirasi ‘menambah perasa’ dalam hujah mereka.

Kisah di sebalik logo WHO guna simbol ular dan tongkat

WHO atau nama penuhnya World Health Organization adalah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mempunyai tanggungjawab dalam bidang kesihatan awam antarabangsa.

Dalam perlembagaan WHO yang menetapkan struktur dan prinsip pemerintahan agensi tersebut menyatakan objektif utamanya adalah “memastikan tahap kesihatan orang awam berada pada tahap kesihatan setinggi mungkin”.

WHO berpangkalan di Geneva, Switzerland dengan enam pejabat wilayah separa autonomi dan 150 pejabat di seluruh dunia. Agensi ini ditubuhkan pada 7 April 1948 yang diperingati sebagai Hari Kesihatan Dunia.

Menerusi perkongsian Medical Mythbusters Malaysia, kebanyakan jata perubatan di dunia mempunyai lambang ular melingkari tongkat. Cerita ular ini berasal dari zaman Greek purba yang mana waktu itu, cara hidup dan tamadun dibina atas dasar kepercayaan kepada dewa-dewi.

Ular yang sering anda nampak di jata perubatan ini diberi nama Aesculapian Snake. Ianya sejenis ular yang tidak berbisa yang banyak terdapat di kawasan Mediterranean. Pada masyarakat Greek purba, ular merupakan binatang suci yang mempunyai kuasa untuk mengubati penyakit.

Dewa Apollo adalah merupakan dewa yang mempunyai kuasa dan ilmu menyembuhkan penyakit, merawat dan mempunyai kebaikan serta sifat belas ikhsan yang tinggi.

Dewa Apollo kemudiannya berkahwin dengan wanita biasa dan mempunyai anak yang diberi nama Aesclepius. Segala ilmu perubatan Apollo diturunkan pada anaknya itu.

Pada suatu hari, sedang Aesclepius duduk berehat, datang seekor ular menghampirinya, menjilat telinga dan seterusnya membisikkan ilmu ilmu baru pada Aesclepius. Ular itu kemudiannya terus kekal dengan Aesclepius dan seringkali dilihat melilit pada tongkatnya.

Logo WHO Guna Simbol Ular Dan Tongkat

Sejak kehadiran ular itu, kuasa dan ilmu perubatan, penyembuhan Aesclepius semakin meningkat, lebih dari bapanya sendiri, Dewa Apollo. Hebatnya Aesclepius itu sehingga dia boleh menghalang penyakit, kematian dan juga menghidupkan yang mati.

Perkara ini menimbulkan perasaan tidak senang pada Dewa Zeus yang merupakan datuk kepada Aesclepius. Kemuncak kemarahan Zeus adalah apabila dia melihat populasi manusia yang terlalu ramai dan tidak stabil sehinggakan dia memanah cucunya sendiri dengan petir.

Maka, matilah Aesculapius dalam tangan Dewa Zeus. Ular milik Aesclepius kemudiannya dibiarkan berlegar legar di kuil para pengikut Aesclepius dan kemudiannya simbol ular itu diangkat sebagai tanda ilmu perubatan, belas ikhsan dan juga penyembuhan.

Kerja-kerja Aesclepius pula kemudiannya diambil alih oleh anaknya yang bernama Hygiea. Dan perkataan ‘hygiene’ diambil sempena nama Hygiea, anak kepada Aesculapius.

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia , WHO