Kellie's Castle Tak Sempat Siap Pandemik

Kellie’s Castle, Istana Yang Tak Sempat Siap Kerana Pandemik

Terletak kira-kira 20 kilometer dari Ipoh, Istana Kellie atau lebih dikenali sebagai Kellie’s Castle merupakan salah satu daripada warisan sejarah yang tidak ternilai khususnya bagi senarai pelancongan di Negeri Perak.

Istana Kellie yang melepasi zaman penjajahan Inggeris dan Jepun telah menyimpan seribu satu kisah yang sebahagian daripadanya masih tidak terungkai sehingga hari ini.

Dibina atas dasar cinta

Kellie’s Castle mula dibina pada tahun 1905 oleh seorang peladang getah terkemuka warga Scotland iaitu William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di India.

Di sebalik keindahan seni bina yang menarik ratusan ribuan pelancong setiap tahun, Istana Kellie turut dikenali dengan cerita keagungan cinta seorang suami terhadap isterinya yang menjadi pencetus idea kepada pembinaan istana tersebut.

Selain menjadi simbolik cinta, dikatakan istana ini dibina bagi tujuan menunjukkan kekayaan.

Smith bersama pemilik hartanah, Alma Baker memenangi konsesi untuk meneroka 360 hektar hutan di Batu Gajah. Menerusi keuntungan yang diperoleh, Smith membuka ladang getah dan lombong bijih timah dikenali Syarikat Perlombongan Timah Kinta.

Smith kembali ke England lalu berkahwin dengan gadis Scotland, Agnes. Beliau membawa isterinya kembali ke Tanah Melayu pada 1903, lalu dikurniakan anak perempuan, Helen.

Kemudian Agnes melahirkan anak lelaki, Anthony pada 1915. Kelahiran Anthony membawa keuntungan berlipat ganda dalam empayar perniagaan bapanya.

Bagi meraikan kelahiran Anthony, Smith bercadang meluaskan lagi rumah yang didudukinya dikenali sebagai Rumah Kuning dibina ketika mula berhijrah ke Tanah Melayu pada 1890.

Bersebelahan Rumah Kuning ada sebuah rumah kayu atau rumah asal Smith ketika bujang, namun kini hanya tinggal tapak saja selepas dibom tentera Jepun.

Kellie's Castle Tak Sempat Siap Pandemik

Tak sempat siap sepenuhnya

Bagaimanapun, Kellie’s Castle tidak sempat siap dibina sepenuhnya kerana Smith meninggal dunia pada tahun 1926 akibat sakit pneumonia.

Istana ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia yang sudah lama tertimbus dan kini tinggal sejarah yang hanya mampu dikongsikan.

Lif itu berfungsi daripada tingkat atas sehingga terowong bawah tanah di rumah agam tersebut dan menjadi lif pertama di Tanah Melayu jika istana ini dapat disiapkan. Namun, perancangan ini tidak berjaya kerana William meninggal dunia ketika pulang ke Eropah untuk mengambil lif tersebut.

Kellie's Castle Tak Sempat Siap Pandemik

Pandemik menggagalkan pembinaan istana

Pemergiannya pada usia 56 tahun sekali gus menggagalkan hasrat beliau untuk menyiapkan dan mendiami istana impian itu bersama isteri dan dua orang anaknya.

Ketika itu, satu pandemik teruk yang dinamakan selsema Spanish telah melanda dunia yang menyebabkan puluhan juta nyawa terkorban.

Di Tanah Melayu juga turut tidak terkecuali daripada serangan pandemik itu. Salah satu sebab pandemik ini merebak dengan begitu cepat adalah kegagalan British yang terlalu mengambil mudah dengan serangan pandemik itu.

Wabak yang melanda itu membawa bencana yang amat besar kepada Smith kerana kesemua 70 orang pekerja mahir yang dibawa khas dari Madras, India meninggal dunia akibat dijangkiti selsema Spanish.

Dengan berlakunya Perang Dunia Pertama serta pandemik yang melanda, ia telah mengakibatkan gangguan bekalan bahan dan tenaga kerja yang menyebabkan kerja-kerja pembinaan semakin perlahan dan perniagaan Smith turut merosot.

Kellie’s Castle menyimpan seribu kenangan pahit dan manis. Dipercayai kerana terlalu sayangkan istana yang dibina, roh Kellie Smith sering dilihat merayau-rayau di kawasan itu sehingga hari ini.

Tidak jauh dari istana Kellie, terdapat sebuah kuil Hindu dan yang menariknya, terdapat sebuah patung lelaki Eropah diletakkan bersama-sama patung dewa hindu lain di kuil itu. Di katakan, patung tersebut adalah penghargaan kepada William yang telah membina kuil tersebut.

Kellie's Castle Tak Sempat Siap Pandemik

Fakta menarik mengenai Kellie’s Castle:

1. Berita mengenai Kellie’s Castle pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911. Binaan bangunan ini dianggap unik dari segi reka bentuk dan keluasannya.

2. stana Kellie sering menjadi lokasi pengambaran drama dan filem. Antaranya filem Anna And The King yang dilakonkan oleh pelakon Chow Yuen Fatt.

3. Bangunan dibina dengan batu-bata dilekat menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu, tiada besi atau paku digunakan.

Sumber: BH, FMT, Orang Perak