Hotel Wakaf Malaysia

Simbol Kemajuan Umat Islam Malaysia, Ini 4 Hotel Wakaf Yang Boleh Jadi Pilihan Untuk Bercuti

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Hotel Wakaf Di Malaysia Yang Boleh Jadi Pilihan Untuk Bercuti

Ramai juga kurang memahami konsep wakaf juga antara cabang amal jariah. Malah pewakaf menerima pahala berterusan apabila harta wakaf itu dimanfaatkan untuk kegunaan umat Islam.

Dari segi istilah, wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta itu daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber ainnya (fizikal).

Wakaf ialah suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah atau dihukumkan sebagai milik Allah meskipun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan ‘maukuf alaih’ iaitu pihak atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Wakaf ialah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan syarak.

Harta wakaf boleh digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah seperti mendirikan projek komersial seperti hotel wakaf, pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan sebagainya selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Anda mungkin pernah menginap di hotel ini, tetapi tahukah anda ia dibina di atas tanah wakaf?

Setakat ini terdapat 4 hotel wakaf di Malaysia. Hotel-hotel ini merupakan kolaborasi antara Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan MAIN menjadi pemegang amanah bagi pengurusan tanah wakaf yang menjadi tapak kepada hotel-hotel ini.

1. Hotel Pantai Puteri – Melaka

Hotel Wakaf Malaysia

Terletak hanya beberapa langkah sahaja dari Pantai Puteri. Agak jauh dari bandar Melaka, tapi bagi mereka yang mahukan suasana nyaman dan bersantai, hotel ini adalah pilihan terbaik.

Ia diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan bertaraf 3 bintang. Hotel ini dibangunkan dengan peruntukan oleh JAWHAR di atas tanah wakaf yg menjadi hak milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Alamat: Pantai Puteri, Mukim Tanjung Kling, 76400 Melaka Tengah, Melaka

2. Klana Beach Resort – Port Dickson

Hotel Wakaf Malaysia

Berada di sepanjang jalan pantai di Port Dickson, Klana Beach Resort terletak betul-betul di tepi tebing pantai dengan hanya lima minit berjalan kaki dari Pantai Teluk Kemang.

Hotel ini dibangunkan dengan peruntukan oleh JAWHAR di atas tanah wakaf yg menjadi hak milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Ia juga diuruskan sepenuhnya oleh MAINS.

Alamat: Kompleks Baitulhilal, Lot 4506, Batu 8, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

3. Hotel The Regency Seri Warisan – Taiping

Hotel Wakaf Malaysia

Berdekatan dengan Hospital Taiping, stesen Keretapi Taiping dan Taman Tasik Taiping. Antara tarikan berdekatan dengan hotel ini seperti Muzium Taiping, Zoo Taiping dan Night Safari.

Ia diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan bertaraf 3 bintang. Hotel ini dibangunkan dengan peruntukan oleh JAWHAR di atas tanah wakaf yang menjadi hak milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Alamat: 2453, Jalan Convent, 34000 Taiping, Perak

4. Hotel Grand Puteri – Kuala Terengganu

Hotel Wakaf Malaysia

Lokasinya strategik yang mana berdekatan dengan pusat bandar, Masjid Zainal Abidin, Pasar Payang, Pantai Batu Burok dan Masjid Kristal.

Ia diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan bertaraf 3 bintang. Hotel ini dibangunkan dengan peruntukan oleh JAWHAR di atas tanah wakaf yg menjadi hak milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Alamat: PT 3981, Jalan Masjid Abidin, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu

Jika anda berpeluang untuk bercuti di negeri-negeri di atas, boleh menjadikan hotel wakaf pilihan utama.

Sumber: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Malaysia Tercinta