
Shairan Huzani: Dari Kampung Nelayan Ke Kerusi Pengarah Urusan Shell
Pemilik nama Shairan Huzani Husain tidak lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Muka yang manis dengan senyuman, lembut dalam berbicara menjadikan pemilik nama ini senang untuk didekati.
Dikenali dengan gelaran Pak Cik Shell, beliau menjadi tular apabila bertemu dengan seorang pelajar, Amir yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memakai uniform pekerja Shell.
https://www.instagram.com/p/B9YB3HRH7t-/?utm_source=ig_embed
Bergelar Pengarah Urusan di dua syarikat yang bertanggungjawab akan perniagaan hiliran (downstream) bagi produk Shell Malaysia iaitu Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd sejak September 2016, beliau merupakan anak kelahiran Kelantan yang membesar di sebuah kampung nelayan di pinggir Sungai Kelantan, berhampiran dengan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru.
Merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik, beliau dibesarkan oleh datuk dan neneknya sehingga usia enam tahun sebelum berpindah untuk tinggal bersama ibu bapanya yang merupakan pasangan guru di Kota Bahru.
Beliau kemudiannya diterima masuk ke MRSM Pengkalan Chepa dan menyambung pelajaran di Grantham College di United Kingdom untuk peringkat A-Level.

Semasa belajar di United Kingdom, beliau bekerja mencuci pinggan mangkuk secara sambilan. Tiga bulan bekerja, Shairan sudah berjaya mengumpul wang untuk membeli tiket kereta api mengelilingi Eropah.
“Bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di UK mengajar saya erti kemanusiaan dan kehidupan. Banyak yang saya lihat dan pelajari daripada pengembaraan itu.”
Mendapat tawaran biasiswa pengajian daripada Shell, Shairan kemudiannya bekerja di firma antarabangsa KPMG di Leeds. Pada waktu malam pula, beliau menghabiskan masa dengan belajar bagi mengambil peperiksaan profesional dari Insitutte of Chartered of Accountant of England and Wales.
Selepas lulus, beliau terus bekerja dan perubahan mendadak berlaku dalam kehidupan beliau sekitar tahun 1993.
“Satu hari di dalam tahun 1993, seperti biasa, saya akan terbangun dari tidur tetapi pada hari itu, terus terdetik di hati saya yang England ini terlalu sejuk cuacanya dan saya tiba-tiba terlalu rindukan kampung halaman.
Hari itu, saya bertekad untuk berhenti kerja dan balik ke Malaysia.”
Shairan kemudiannya meletak jawatan, kembali ke Malaysia dan memohon apa sahaja jawatan yang ada di Shell Malaysia. Beliau berjaya mendapatkan jawatan di Shell Chemical yang pada ketika itu menghasilkan produk ubat nyamuk Shelltox.
https://www.instagram.com/p/CDVxx0RJlnf/
Ditukarkan ke bahagian Corporate Finance, Forex Trading dan upstream, Shairan kemudiannya bertemu dengan bidang yang beliau rasa menarik iaitu peruncitan dan menjaga stesen minyak pertamanya di Shell Glenmarie dan beberapa stesen lain yang mana membawa kepada tawaran kerja di India oleh syarikat induk Shell, Royal Dutch Shell.
“Pejabat pertama Royal Dutch Shell di India ialah sebuah bilik kecil di hotel Taj West End. Saya membeli empat kerusi, satu mesin faks dan meja yang saya pinjam dari hotel.
“Dan itulah permulaan Shell di India. Sehingga kini, nama di dalam lesen perniagaan Shell di India masih mempunyai nama saya.”
Empat tahun di India, beliau berjaya membantu dalam membuka lebih 30 buah stesen minyak sebelum pulang semula ke Malaysia. Untuk membuka syarikat minyak asing di India bukan mudah kerana India sendiri mempunyai empat syarikat minyak nasional.

Berkongsi pengalaman sebagai duta kecil Malaysia, Shairan mendedahkan semangat kerja di Shell yang tetap menghormati agama dan adat di mana ia bertapak biarpun mementingkan teknologi dan kualiti produk menjadikan beliau berbangga dengannya.
Trending now



