‘The Platform’ Satu Kritikan Terhadap Golongan Kapitalis Dari Sisi Dunia Penjara 4

‘The Platform’ Satu Kritikan Pedas Kepada Kelompok Kapitalis Dari Sisi Dunia Penjara

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

The Platform (2019) merupakan sebuah filem sains fiksyen seram Sepanyol arahan Galder Gaztelu-Urrutia yang ditayangkan di Netflix semasa Malaysia baru dua hari berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BACA: Ulasan Filem: The Invisible Man

Filem bergenre thriller ini menjadi popular kerana memberikan kritikan terbuka mengenai dunia kapitalis dalam satu plot cerita yang ringkas dan mudah untuk difahami walaupun ianya membawa tema kemanusiaan yang berat.

Plot The Platform (2019) bermula dengan seorang lelaki, Goreng yang secara sukarela menawarkan diri untuk tinggal di penjara bertingkat selama enam bulan sebagai pertukaran dengan sekeping sijil. Hanya dibenarkan untuk membawa satu barang ke dalam penjara, Goreng telah memilih buku sebagai penemannya.

‘The Platform’ Satu Kritikan Terhadap Golongan Kapitalis Dari Sisi Dunia Penjara 3
Sumber: Gizmodo Australia

Tidak mengetahui situasi sebenar di dalam penjara tersebut, Goreng pada awalnya ditempatkan di tingkat 48 bersama Trimagasi, seorang tahanan tua yang menerangkan sistem operasi penjara yang mana makanan akan diberikan menerusi platform yang hanya berhenti selama dua minit bermula dari tingkat atas menuju ke bawah di menara lebih daripada 230 tingkat itu.

Pada hujung bulan pula, penghuni akan ditidurkan dan akan dibangunkan di tingkat yang berlainan, bergantung kepada budi bicara pihak pengurusan penjara. Daripada platform ini jugalah, Goreng bertemu dengan seorang wanita, Miharu yang setiap bulan akan turun bersama makanan untuk mencari anaknya (yang mana penghuni simpulkan sebagai situasi yang terhasil daripada imaginasi Miharu).

‘The Platform’ Satu Kritikan Terhadap Golongan Kapitalis Dari Sisi Dunia Penjara 1
Sumber: Insider

Setiap watak dalam filem ini sebenarnya merupakan kritikan terbuka kepada dunia kapitalis yang digambarkan menerusi ketamakan mereka yang berada di tingkat 1 apabila dihidangkan dengan platform yang penuh dengan makanan; makan sehingga kenyang dan tidak mempedulikan penghuni lain di ratusan tingkat di bawah yang kelaparan sehingga terpaksa membunuh rakan penghuni lain sebagai cara survival.

Seakan kebetulan ditayangkan semasa Malaysia berdepan perintah PKP, filem ini seakan memberikan tamparan kepada:

  1. Kumpulan manusia (rakyat) yang melakukan pembelian panik sehingga tidak mempedulikan orang lain.
  2. Kumpulan manusia berpendapatan tinggi yang memiliki kelebihan berada ‘di atas’ dan langsung tidak bersimpati dengan mereka yang berpendapatan rendah.

Permusuhan, sifat dengki dan segala perasaan yang menyebabkan kehidupan tidak harmoni ditayangkan di dalam filem ini menjadikan penonton sendiri merasa jijik dengan plotnya. Namun, pengakhirannya yang seakan ‘tergantung’ menyebabkan penonton terpaksa keluar dengan kesimpulan mereka sendiri.

‘The Platform’ Satu Kritikan Terhadap Golongan Kapitalis Dari Sisi Dunia Penjara 2

Pesan kami, jangan tonton semasa dan selepas makan.

Nak tahu lanjut mengenai pengakhiran cerita lakonan hebat Iván Massagué ini, jangan lupa tonton The Platform di Netflix anda sekarang.