
Laman Facebook Freemasons Padam Hantaran Sebab Tak Tahan Diserang Netizen Malaysia
Sebuah hantaran kontroversi di laman Facebook Freemasons telah diserang bertalu-talu oleh netizen Malaysia baru-baru ini.
Hantaran tersebut memaparkan logo organisasi mereka yang disunting dengan meletakkan kalimah Allah di bahagian tengah dengan disertakan kapsyen:
“Freemansory bukanlah satu agama tetapi ia merupakan persaudaraan orang beragama dari semua kepercayaan. Apa yang indah mengenai sentuhan lembut kami adalah kami boleh duduk bersama pada satu aras tanpa sebarang konflik. Ia benar-benar sesuatu yang sangat indah.”
Disebabkan hantaran kontroversi itu, ia telah mencetuskan kontroversi dengan rata-rata ruangan komen itu dibanjiri ‘tentera bawang’ Malaysia. Ruangan komen hantaran itu dipenuhi dengan komen ‘Mak kau hijau’ dan ‘Your mother is green’.
Serangan tersebut membingungkan pentadbir lama berkenaan lalu memuat naik komen mengenainya beserta tangkap layar dari urbandictionary.com.
Katanya, mereka tidak pernah menerima kata hinaan yang merujuk kepada ‘Your mother is green’ dan berasa hairan kerana belum pernah mengalami pengalaman seperti itu dari rakyat Malaysia sebelum ini.
“Untuk mereka yang bukan rakyat Malaysia, kami berasa ingin tahu mengenai hinaan ‘Your mother is green’.
“Kami belum pernah mengalami perkara seumpamanya, walaupun ia nampak pelik, tidak matang dan keanak-anakan.
“Kami dengan sopan bertanya kepada mereka yang menghina kami apakah maksudnya, tetapi mereka enggan beritahu. Setelah melakukan kajian, kami menemui perkara berikut.”
Bagaimanapun, didapati hantaran berkenaan telah dipadam mereka. Meskipun begitu, netizen Malaysia masih meneruskan serangan pada hantaran-hantaran lain dengan meletakkan beberapa meme.
Apa yang didakwa di carian Google, Freemasons atau Freemasonry ialah sebuah pertubuhan persaudaraan yang mula muncul antara akhir abad ke-16 dan awal abad ke-17.
Laman itu setakat ini mempunyai 678 ribu pengikut dan mula dinaikkan di Facebook pada 2010 dengan empat pentadbir iaitu tiga daripadanya adalah dari UK, manakala seorang lagi dari Amerika Syarikat.
Nampaknya, frasa ‘Mak kau hijau’ ini berjaya menggoyahkan mereka yang tidak disenangi netizen Malaysia. Sebelum ini, ahli politik Taiwan meminta maaf kepada Malaysia setelah diserang kerana beri ulasan berbaur fitnah tentang situasi wabak COVID-19 di Malaysia dan bagaimana Malaysia menanganinya.
Sumber: TTKM
Trending now



