Kerbau Mowgli Malaysia Mati Mengejut

‘Mowgli Malaysia’ Pilu, Lebih 30 Ekor Kerbau Mati Secara Tiba-Tiba

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’, rakyat Malaysia pasti mengenali Mohd Syukor Khamis kerana aksi fotogeniknya bersama sekawan kerbau.

Keakraban dengan haiwan peliharaan bapanya begitu luar biasa sehingga tercipta sebuah filem yang bertajuk ‘Budok Kuba’, terbitan Arie Zaharie Production.

Namun, baru-baru ini dikejutkan dengan apabila kerbau peliharaan bapanya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu.

Setakat ini, dilaporkan kira-kira 36 daripada 110 ekor haiwan ternakan itu mati dengan 11 ekor kerbau ditemui mati bergelimpangan pagi ini melibatkan kerugian lebih RM200,000. Menerusi tinjauan media, beberapa ekor kerbau mati bergelimpangan di dalam kandang.

“Pada mulanya hanya seekor yang mati pada Rabu tetapi tanpa sebarang tanda kematian dan disangka penyakit biasa.

“Keesokannya, seekor lagi yang mati sebelum Jumaat (dua), Sabtu (empat) dan Ahad (sebelas).

“Hari ini saja 10 sudah mati dan dijangka lebih lima ekor lagi yang akan mati kerana sebab yang sama,” katanya.

Menurutnya, dia sangat sedih dengan kejadian itu malah semua ahli keluarga sedang berada dalam keadaan berduka sekarang kerana semua kerbau itu diternak lebih 50 tahun.

Kerbau Mowgli Malaysia Mati Mengejut
Sumber: Dallah Deen
Kerbau Mowgli Malaysia Mati Mengejut
Sumber: Dallah Deen

Pertama kali berlaku

“Ayah yang paling sedih dengan kejadian itu dan ia pertama kali berlaku dan dibimbangi semua kerbau akan mati.

“Kerbau kesayangan saya iaitu Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin pencegahan,” katanya.

Sementara itu, mereka sekeluarga buntu memikirkan penyakit yang menular itu sehingga menyebabkan kematian kerbau secara mengejut.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, berkemungkinan besar ia mati kerana penyakit hawar berdarah bagaimanapun keputusan ke atas pemeriksaan itu akan diperolehi dua minggu lagi.

“Kerbau yang mati itu hanya mengalami selsema saja tanpa menunjukkan tanda-tanda diserang penyakit,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al -Bakri menitipkan pesan buat Syukor sekeluarga.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Datuk Dr Zulkifli juga berharap agar Syukor dan keluarga diberikan kesabaran.

https://www.instagram.com/p/CFGhLEplFNv/?utm_source=ig_embed

Sumber: Harian Metro, Dallah Deen Photography