Buang Kucing Dikompaun RM100 ribu

Tular Buang Kucing Peliharaan Atas Alasan Anak Semput, Rupanya Boleh Dikompaun RM100 Ribu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tular Buang Kucing Peliharaan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat tiga kali ganda, menurut Persatuan Haiwan Malaysia.

Perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga Pemberi Makan Haiwan Jalanan.

Baru-baru ini tular sebuah rakaman yang dimuat naik di media sosial yang membuatkan rata-rata netizen yang melihatnya berasa bengang.

Insiden itu juga turut mendapat perhatian dan dikongsikan di Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia dan membuatkan lebih ramai berasa tidak gembira atas perilaku individu berkenaan.

Menerusi rakaman tular itu, seorang wanita telah buang dua ekor kucing yang dipercayai miliknya di tepi jalan. Dimaklumkan, perkara itu dilakukan kerana anaknya didakwa menghidap masalah kesihatan iaitu semput selain gagal untuk mencari pemilik baru bagi haiwan peliharaan tersebut.

Sepupunya yang merakam kejadian itu malah turut mengaku tidak mampu menjaga si comel berkenaan memandangkan dia turut mempunyai alahan.

Buang Kucing Dikompaun RM100 ribu

Menerusi keterangan Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM), mereka yang membuang haiwan peliharaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015. Jika tertangkap, hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000.

Ia jelas membuktikan tindakan segelintir individu yang membuang atau meninggalkan kucing dengan alasan haiwan berkenaan bukan milik mereka atau tidak mahu bertanggungjawab atas kelahiran anak haiwan terbabit adalah kesalahan.

Bukan itu sahaja, jika mengabaikan haiwan berkenaan dari segi keselamatan, makanan dan sebagainya, boleh didakwa.

Komen-komen pada hantaran tersebut dibanjiri dengan pencinta haiwan. Rata-rata mereka berasa sedih kerana seolah-olah perilaku individu berkenaan seperti tidak mahu berusaha mendapatkan keluarga baharu buat kucing-kucing tersebut dan tidak endah dengan nasib si comel itu.

Pada akhir hantaran, pihak SAFM turut mengingatkan orang ramai supaya jangan menzalimi haiwan peliharaan masing-masing yang sepatutnya dianggap sebahagian daripada ahli keluarga sendiri.

Pihak mereka akan melanjutkan kes tersebut supaya dapat keadilan untuk kucing-kucing terbuang itu.

Sumber: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia – SAFM