Rekomen One Two Jaga Polis

Netizen Rekomen Semula Filem ‘One Two Jaga’ Di Tengah-Tengah Isu Hangat Polis

Netizen Rekomen Semula Filem ‘One Two Jaga’ Di Tengah-Tengah Isu Hangat Polis

Beberapa hari ini hangat diperkatakan mengenai tindakan pihak berkuasa yang merujuk kepada polis, iaitu satu organisasi unggul di dunia amnya di Malaysia yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Isu ini merujuk kepada pendedahan video yang dibuat secara langsung oleh pengendali akaun Facebook Hot Burger Malaysia mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Bagaimanapun, beliau yang mendedahkan aktiviti panas itu kesal apabila dirinya pula dipersalahkan oleh pihak berkuasa.

Memetik sumber MalaysiaGazette, Mohd. Asri berkata sepatutnya selepas kegiatan haram itu dibongkar, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya tetapi sebaliknya pula berlaku.

Kata pihak polis, video yang tular itu boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej polis dalam menangani aktiviti perjudian di Sungai Buloh.

Isu tersebut kini turut dalam siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan pihak berkuasa cuba melindungi premis perjudian haram di sekitar Sungai Buloh.

BACA: Isu Judi Dan Perniagaan Haram Di Sungai Buloh, Siapa Yang Salah?

Selain itu, netizen turut bersimpati terhadap isu seorang pelajar yang dikenakan kompaun selepas didapati tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Dalam video yang tular itu, pelajar itu didenda RM1,000 kerana membuka pelitup muka ketika berada di platform menunggu di sebuah stesen kereta api. Remaja itu yang dilihat menangis, mendakwa dia menurunkan pelitup muka ke bahagian dagu buat seketika kerana gatal.

Bagaimanapun, pegawai polis mengatakan bahawa orang awam sering memberi alasan yang sama. Tambahnya, peraturan mengenai pelitup muka menyatakan ia harus dipakai setiap masa di tempat awam yang sesak.

Isu ini menjadi topik hangat apabila yang sering dipaparkan di media ialah individu dikenakan kompaun, kebanyakannya rakyat marhaen tetapi sangat jarang bagi individu yang berpengaruh sedangkan sudah terang lagi bersuluh mereka memuat naik gambar-gambar berada di dalam majlis tertutup dengan tiada penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Justeru, segelintir netizen ‘memerli’ atas isu berkenaan dengan merekomenkan semula filem ‘One Two Jaga’ arahan Nam Ron yang telah ditayangkan pada 2018 dan kini sudah berada dalam laman penstriman video Netflix untuk mereka menonton semula.

‘One Two Jaga’ merupakan sebuah filem yang mengetengahkan kisah dua anggota polis, Hassan (lakonan Rosdeen Suboh) dan Hussein (Zahiril Adzim) yang cuba menegakkan prinsip masing-masing semasa melaksanakan tugas.

Rekomen One Two Jaga Polis

Kesabaran Hussein diuji apabila cuba mempertahankan dasar amanah dalam tugasnya sewaktu menguruskan isu pendatang asing dan pekerja haram tetapi dihalang oleh Hassan yang lebih senior.

Filem ini turut memaparkan sisi buruk sesetengah anggotanya yang mana penerbitnya, Bront Palarae mahu orang ramai sepatutnya memahami dalam PDRM juga ada anggota yang baik dan berintegriti walaupun sesetengah mereka terbabit dalam gejala rasuah atau salah guna kuasa.