
Makin Jutawan, Pelombong Ini Sekali Lagi Temui Permata ‘Rare’ Dalam Tempoh Dua Bulan
Sebelum ini, berita seorang pelombong kecil Tanzania pernah mendapat liputan media seluruh dunia pada Jun lalu selepas menemui dua biji batu permata tanzanite terbesar di negara itu dan menjualnya kepada kerajaan, sekali gus bergelar jutawan.
Sekali lagi, Saniniu Kuryan Laizer dilaporkan menemui satu lagi permata Tanzanite seberat 6.3 kg yang bernilai $2 juta (~RM10 juta). Laizer dianggap sangat bertuah kerana dalam tempoh kurang dua bulan beliau sekali lagi menemui batu pertama yang amat berharga di sana.
Batu Tanzanite merupakan batu permata paling jarang dijumpai di dunia dan hanya boleh dijumpai di Tanzania. Pakar geologi menganggarkan bekalan batu tersebut dijangka akan habis dalam masa 20 tahun dari sekarang.
Tanzanite digunakan sebagai batu permata seperti batu delima (ruby), berlian (diamond), nilam (sapphire) dan zamrud (emerald).
Nilai Tanzanite ditentukan berdasarkan berat dan kepelbagaian warnanya seperti hijau, merah, ungu dan biru. Semakin banyak kepelbagaian warnanya, semakin mahal harganya.
Tanzanite pertama kali ditemui di kaki bukit Kalimanjaro pada 1967 serta wilayah utara Tanzania, Manyara, dan dipercayai tidak wujud di mana-mana tempat lain di dunia, sekali gus menjadi dambaan untuk dijadikan perhiasan.
Sebelum ini, dua biji permata yang ditemui pelombong ini masing-masing seberat 9.27 kg dan 5.1 kg dan menjualnya kepada kerajaan pada harga $3.3 juta (~RM14.1 juta).
Menjadikan keseluruhannya dalam masa dua bulan ini, Laizer sudah mendapat $5.3 juta atau pun lebih RM21 juta.
Bina sebuah sekolah selepas bergelar jutawan
Bergelar jutawan sekelip mata, Laizer merancang untuk melaburkan kekayaan barunya untuk membina kompleks membeli belah dan sekolah.
Kebiasaan mereka yang bergelar jutawan segera ini akan melaburkan wangnya untuk keluar daripada negara tersebut. Malah ada yang mahu menetap di negara Eropah dan Amerika Syarikat untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Tetapi tidak bagi Laizer kerana selepas penemuan terbaharu ini, bapa kepada 30 anak ini mahu membina sebuah lagi sekolah dan hospital.
“Saya bercadang untuk membina sebuah pusat membeli-belah di Arusha dan sebuah sekolah berhampiran rumah saya.”
“Saya bersyukur kepada Tuhan atas pencapaian ini kerana ini pertama kali mendapat benda macam ini.”
Laizer menunaikan janjinya, malah memberikan wang kepada mereka yang memerlukan terutama sekali mereka yang tiada wang untuk menyekolahkan anak mereka, menurut African News.
Sumber: NDTV
Trending now



