
Isu TikTok: Rakyat China Anggap CEO Pengkhianat Selepas Didorong Jual Kepada AS
Rundingan pembelian operasi aplikasi video TikTok di Amerika Syarikat (AS) oleh Microsoft Corp menimbulkan kemarahan di media sosial China serta kritikan oleh pelabur China terkenal daripada pemilik TikTok, ByteDance.
Gergasi teknologi AS itu secara rasmi menyatakan minatnya pada Ahad lalu selepas Presiden Donald Trump menarik balik rancangan untuk mengharamkan operasi aplikasi itu di negaranya dan memberi kedua-dua syarikat 45 hari untuk mencapai kesepakatan.
Sebelum ini Trump mengeluarkan kenyataan kemungkinan untuk mengharamkan TikTok, atas sebab keselamatan dan kerana ia dilihat berpotensi menjadi pesaing YouTube dan Facebook.
BACA: Selamat Tinggal TikTok? Instagram Bakal Lancar Aplikasi Video Versinya Ogos Ini
Susulan itu, China tidak akan menerima ‘kecurian’ syarikat teknologi miliknya oleh Amerika Syarikat (AS) dan akan bertindak balas terhadap tindakan Washington yang mendorong ByteDance menjual aplikasi video pendek TikTok di AS kepada Microsoft, menurut akhbar China Daily.
“Tindakan membuli syarikat teknologi China adalah akibat daripada visi Washington ‘utamakan rakyat Amerika’ dan menyebabkan China tidak ada pilihan selain ‘menyerah atau pertempuran dalam dunia teknologi”, tulis akhbar itu.
Katanya, China mempunyai banyak cara untuk bertindak balas sekiranya pihak pentadbiran melakukan kehancuran dan rampasan yang dirancang.
Bagaimanapun, tindak balas ByteDance tidak mendapat sokongan segelintir rakyat China. Di platform sosial popular China, Weibo, beratus-ratus pengguna awanama marah terhadap pemilik TikTok Zhang Yiming dengan mengatakan beliau sebagai pengkhianat China dan pengecut.
Manakala para pelabur di China bersimpati dengan ByteDance, ramai bersetuju jika kesepakatan Microsoft berjalan, ia mungkin merupakan hasil buruk bagi TikTok.
Akhbar Global Times, yang menyokong kerajaan China menyifatkan tindakan ke atas ByteDance dan Huawei Technologies AS, yang kini dalam senarai hitam dalam perdagangan AS menunjukkan usaha AS untuk memisahkan ekonominya dari China.
Beijing mempunyai ‘kemampuan terhad’ untuk memberikan perlindungan kepada syarikat-syarikat China dengan membalas dendam terhadap syarikat AS kerana Washington mempunyai kelebihan dan pengaruh teknologi dengan sekutunya.
Sumber: Techcrunch, NDTV
Trending now



