Kuarantin Hotel Menu Tak Sedap

Wanita Ini Luah Kecewa Dapat Menu Tak Setimpal Dengan Kos Tanggungan Ketika Kuarantin Di Hotel

Bermula 24 Julai lalu, semua warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di Stesen Kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

Keputusan berkenaan dibuat susulan terdapat segelintir individu yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah setibanya dari luar negara.

Seorang pengguna Twitter meluahkan kekecewaan realiti ketika kuarantin di salah sebuah hotel tempatan di Kuala Lumpur yang mana hidangan yang diterima tidak cukup memuaskan.

Wanita tersebut yang baru pulang dari Korea Selatan mengadu tidak berpuas hati dengan menu makananan yang disediakan pihak pengurusan.

Wanita terbabit yang juga penjawat awam sedang menjalani kuarantin sendiri di sebuah hotel di USJ, Subang Jaya di Selangor, berkongsi pengalamannya diberi makanan yang tidak sedap dan tidak menepati waktu.

Menerusi ciapannya, lebih teruk semasa hari keempat, beliau diberi hidangan nasi lemak yang dilihat seperti nasi mentah beserta sambal sahaja dan beberapa ulas buah.

“Bukan semua golongan Kayangan. Saya ke Seoul demi negara.

“Saya dilayan dengan baik semasa tiba di lapangan terbang. Di hotel, tempat yang sepatutnya rakyat Malaysia menunjukkan layanan yang baik, sebaliknya membuatkan saya menangis,” ciapnya @zierali di Twitter.

Kuarantin Hotel Menu Tak Sedap
Sumber: Twitter

Tambahnya, walaupun bilik mandinya berkulat, cadar tilamnya kotor, dan plug bilik tidak berfungsi, beliau tidak mengeluh tentang hal itu kerana masih boleh bertahan.

Semua mereka yang terlibat perlu menjalani kuarantin wajib dengan kos bayaran maksimum RM2,100 atau 44.7 peratus bagi caj bilik hotel serta makan tiga kali sehari. Manakala kos selebihnya termasuk kos pengangkutan dan lain-lain ditanggung kerajaan.

Wanita itu menyedari industri perhotelan kini mengalami kesukaran tetapi ini adalah peluang untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa mereka harus datang lagi.

Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib wanita itu dan ada juga menghulurkan kata-kata positif kepada beliau.

Perkongsiannya semalam menarik perhatian ADUN Subang Jaya Michelle Ng yang kemudian menghubungi pengurusan hotel dan meminta mereka memperbaiki kelemahan itu.

“Sebagai Adun Subang Jaya, saya berasa malu. Saya menghubungi pengurusan dan meminta mereka menambah baik hidangan,” tulis Michell.

 

Tidak berapa lama kemudian, wanita berkenaan berkata masalah itu telah diatasi dan mendapat hidangan yang lebih baik.