Elon Musk Piramid Makhluk Asing

Mesir Jemput Elon Musk Melawat Piramid Selepas Dakwa Ia Dibina Makhluk Asing

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan nilai sejarahnya dari tamadun Mesir Purba hinggalah sejarah perjuangan para anbiya yang pernah berada di situ seperti Nabi Yusuf, Nabi Harun dan Nabi Musa a.s.

Antara monumen yang menjadi saksi kepada lipatan sejarah Mesir ialah piramid dengan Piramid Agung Giza merupakan sebahagian daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba yang terus bertahan sehingga hari ini.

Pembinaannya yang begitu misteri dan mengagumkan ini telah menyebabkan masih ada lagi pihak menganggap ia bukanlah ciptaan manusia tetapi sebenarnya dibina oleh makhluk asing yang datang lebih awal ke bumi berbanding kita.

Begitu juga dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan Space X, Elon Musk yang mengeluarkan ciapan di Twitter rasminya mengatakan Piramid dibina oleh makhluk asing.

Musk seolah-olah mendokong teori konspirasi pembinaan Piramid turut menyatakan dalam ciapan susulannya bahawa Firaun Ramses II yang memulakan projek pembinaan Giza juga merupakan makhluk asing.

Elon Musk Piramid Makhluk Asing
Sumber; Pinterest

Ciapan tersebut telah mendapat respon Menteri Kerjasama Antarabangsa Mesir, Rania al-Mashat dengan menjemput Musk datang melawat melihat sendiri keajaiban pembinaan Piramid di sana.

“Saya mengikuti kerja anda dengan penuh kekaguman. Saya menjemput anda dan Space X untuk meneroka penulisan tentang bagaimana piramid dibina dan juga untuk melihat makam pembina piramid.

“Tuan Musk, kami menunggu anda,” ciapnya.

Ahli arkeologi Mesir, Zahi Hawass juga tampil memberi respon terhadap kenyataan Musk dengan mengatakan hujah pengasas Space X itu hanyalah halusinasi.

“Saya menjumpai makam pembina piramid yang memberitahu bahawa mereka adalah orang Mesir dan mereka bukan dalam kalangan hamba,” katanya yang dipetik oleh EgyptToday.

Idea bahawa makhluk asing yang membina piramid adalah sebahagian daripada teori angkasawan purba (ancient astronauts) yang tidak berasas, mendakwa bahawa makhluk asing mengunjungi ke Bumi pada zaman prasejarah dan membina mercu tanda tersebut, menurut National Geographic.

Piramid dibina di Mesir lebih dari 4,000 tahun yang lalu dan dianggap sebagai pencapaian seni bina yang paling mengagumkan bagi manusia.

Sumber: CTV News