Hukuman Mati Tonton Drama Korea Selatan

Penduduk Korea Utara Berdepan Hukuman Mati Jika ‘Kantoi’ Tonton Drama Korea Selatan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Drama Korea Selatan menjadi salah satu tontonan kegemaran di beberapa negara, salah satunya Malaysia.

Akses yang mudah untuk menonton drama Korea berserta dengan sari kata di laman sesawang sebenarnya bukan sahaja memudahkan, tetapi menambah lagi peminat k-drama di seluruh dunia.

Bagi negara kita, mungkin tidak ada masalah untuk menonton drama daripada negara mana sekalipun. Namun, berlainan pula dengan negara ini yang menghalang rakyatnya daripada menonton k-drama dan jika mereka ingkar, bakal berdepan dengan hukuman mati.

Dilaporkan, pemerintah Korea Utara mengancam akan memberi hukuman berat tersebut kepada penduduknya yang menonton drama dan filem dari Korea Selatan.

Malah, bukan sahaja hukuman berat, pemimpin negara terbabit, Kim Jong Un juga mahukan projek pendidikan yang menanamkan ideologi Korea Utara kepada rakyatnya untuk mengelak perkembangan budaya Korea Selatan di negara itu.

Perkara ini didedahkan seorang sumber kepada Radio Free Asia (RFA) kerana pemerintah negara terbabit tidak puas hati melihat warganya kini mula mengikut gaya percakapan masyarakat Korea Selatan.

Memetik sumber RFA, sebanyak 70 peratus rakyat Korea Utara menonton drama dan filem negara jirannya.

“Memang ramai yang sudah menonton sajian hiburan daripada Korea Selatan. Budaya nasional (Korea Utara) juga sudah semakin memudar,” katanya.

Menonton drama atau filem luar terutamanya daripada Korea Selatan adalah satu aktiviti yang dikategorikan sebagai jenayah serius di Korea Utara. Menerusi sumber lain, dilaporkan seramai 80 rakyat negara itu telah dihukum mati pada awal bulan lalu.

Hukuman Mati Tonton Drama Korea Selatan

“Saya bersama 10,000 lagi rakyat Korea Utara telah diarahkkan untuk ke stadium besar di Wonsan untuk menyaksikan sendiri hukuman mati terhadap lapan individu oleh pasukan penembak.

“Kesemua mereka dikatakan telah dihukum mati kerana menonton K-Drama secara haram,” katanya yang kini sudah lari ke Korea Selatan.

Hukuman tersebut dilaksanakan berikutan pihak berkuasa takut dengan pendedahan dalam filem atau drama luar itu boleh mengubah pola pemikiran rakyat Korea Utara.

Namun, sumber RFA menganggap tindakan pemerintah ini sudah terlambat kerana tayangan Korea Selatan sudah tersebar luas dan disukai oleh kebanyakan rakyat Korea Utara.

“Sudah terlambat untuk mencegah rakyat daripada tergoda budaya Korea Selatan kerana daya tarikannya sudah lama berakar,” katanya.

BACA: Krisis Semakin Tegang Apabila Korea Utara Kini Sudah Siap Dengan Hukuman ‘Balas Dendam’ Kepada Korea Selatan

Sumber: Radio Free Asia